.

.

Usah timbulkan unsur negatif terhadap mutu pengadilan - Mohd. Yusoff


KETIKA kebanyakan penyokong dan beberapa pemain menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan bola sepak tempatan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengingatkan semua pihak agar menggunakan saluran yang betul bagi menyatakan bantahan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan negatif berbaur hasutan boleh mewujudkan unsur tidak percaya terhadap mutu pengadilan bola sepak di negara ini.

Mohd. Yusoff juga secara peribadi tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan perlawanan Liga Super antara Melaka United dan PKNS FC, Sabtu lalu.

"Saya juga turut tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan yang berlangsung baru-baru ini ketika menentang PKNS FC.

"Saya memaklumkan kepada pengerusi jawatankuasa pengadil bahawa keputusan penalti dan kad merah kepada pemain Melaka United itu salah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, apabila sesuatu rasa tidak puas hati timbul, seharusnya seseorang ketua jurulatih melalui persatuan menghantar surat bantahan rasmi kepada jawatankuasa pengadil berserta bukti seperti video perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Shah Alam Sabtu lalu, Melaka United dinafikan tiga mata penuh selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kontroversi dan melayangkan kad merah apabila mendakwa pertahanan, Jasmin Mecinovic sengaja menahan bola menggunakan tangan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.