.

.

Dua pemain angkat kaki?


Dengan berakhirnya kempen Liga Malaysia Melaka United musim ini bererti beberapa pemain bakal meninggalkan kelab dan akan ada muka baharu yang menyertai pasukan.

Seperti yang diperkatakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi kelmarin, pasukan yang menamatkan kempen Liga Super di tangga kelapan ini bakal melakukan rombakan besar-besaran untuk memperkukukan pasukan.

Tidak mahu mengulangi kesilapan sama pada awal musim ini, pengurusan Melaka United berjanji untuk memberikan kuasa penuh kepada ketua jurulatih, Eduardo Almeida untuk memilih sendiri pemain yang dikehendakinya.

Kontrak beberapa pemain juga dilaporkan tamat sebaik berakhirnya musim ini dan beberapa pemain dijangka meninggalkan pasukan termasuk 'kontinjen' pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti Nicholas Swirad, Fandi Othman dan Mohd. Azinee Taib.

Terbaharu, pemain paling lama di Melaka United, Jasmir Mehat memberi bayangan bahawa beliau tidak akan bersama pasukan lagi musim depan.

Dengan aksi yang agak terbatas di bawah Eric Williams dan Eduardo Almeida, jalan keluar merupakan langkah terbaik untuk pemain sayap yang merupakan produk akademi Melaka United mengembangkan karier.


Jasmir menerusi akaun Facebooknya mengucapkan selamat tinggalkan kepada penyokong dan rakan sepasukan.

"Terima kasih semua... Nanti kita berjumpa lagi. InsyaALLAH #rezekiadadimana2," katanya.

Bekas rakan sepasukan yang kini beraksi untuk Felda United, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman turut memberikan semangat kepada Jasmir.

"Semoga berjaya kawan, jangan putus semangat dan fikir positif. Apapun aku doakan agar kau berjaya... Ayuh," katanya.

Kojie mungkin kembali sertai pasukan kelahirannya, Pahang.
Sementara itu, penyerang, Mohd. Fauzi Roslan turut membayangkan bakal kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Pahang.

Menerusi catatan di Instagramnya, Mohd. Fauzi atau mesra dipanggil Kojie berkongsikan gambarnya ketika bersama Pahang namun belum ada pengesahan rasmi mengenaninya.


"Kenangan terindah, Pahang. #19 #rezeki19 #kawanbudakpekan #pekanroyaltown," kata Kojie.

Perkongsian Kojie turut mendapat reaksi rakan sepasukan, Izzaq Faris Ramlan yang mengucapkan selamat kembali ke Pahang.

Namun, segalanya kini terletak di tangan pengurusan dan pemain itu sendiri. Kita nantikan kejutan perpindahan musim depan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.