Gopi, Chanturu diperkenalkan esok


Selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United minggu lalu, masa dua bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), S. Chanturu dan R. Gopinathan akhirnya akhirnya terjawab apabila disahkan akan diperkenalkan sebagai tonggak baharu skuad hijau putih esok.

Bharian Online melaporkan, ketua jurulatih Melaka United, Eduardo Almeida berkata, kehadiran kedua-dua pemain itu bakal memperkukuhkan pasukannya untuk tampil lebih memberi cabaran musim depan.

Ini kerana Melaka United hanya mengekalkan sembilan pemain musim lalu seperti Fazli Paat, Faizal Muhammad, Nicholas Swirad, Khair Jones, R. Surendran, G. Puaneswaran, S. Sivanesan, Jeon Woo Young dan Mohd. Fauzi Roslan.

Mohd. Farderin kembali ke Melaka selepas lama merantau.
Minggu lalu pula menyaksikan Melaka United membawa beberapa muka baharu termasuk dua penjaga gol Zamir Selamat dan Mohd. Faridzuean Kamaruddin dari PKNS FC serta Sime Darby FC.

Sementara itu, Mohd. Azmi Muslim dan Shazlan Alias yang beraksi di bahagian pertahanan turut dibawa masuk sementara pemain tengah Pulau Pinang, Azrul Ahmad bakal diumumkan sebagai pemain baharu serta kepulangan anak jati Melaka, Farderin Kadir.

Nurshamil (depan) kembali dari pinjaman ke Selangor.
Seorang lagi penyerang kelahiran Melaka, Norshamil Abdul Ghani yang bersama Selangor musim lalu turut memperkuatkan pasukan bersama pemain yang dipinjamkan ke PJ Rangers, Mohd. Akmal Ishak.

Ghaddar belum buat keputusan mengenai masa depannya.
Kedudukan penjaring terbanyak musim lalu, Mohammed Ghaddar bersama Melaka United belum dapat dipastikan kerana ketika ini hanya menunggu kata putus daripada pemain berkenaan selepas perbincangan dengan JDT selesai.

"Rundingan bersama Ghaddar masih lagi berjalan. Seorang pertahanan dari Perancis dan pemain tengah dari Portugal juga ada menandatangani prakontrak namun belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat," kata Almeida hari ini.

Foto: JST, Utusan Online