Terima kasih Jasmir 23


Selepas namanya dikaitkan bakal meninggalkan Melaka United, anak jati negeri, Jasmir Mehat akhirnya mengesahkan perkara tersebut dan mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong pasukan.

Memulakan karier dari skuad Piala Presiden sebelum diserapkan ke dalam pasukan Liga FAM oleh ketua jurulatih, Lako Tatkovic, Jasmir dikenali sebagai pemain sayap kiri yang mempunyai kelajuan dan mampu memberikan igauan ngeri kepada pertahanan lawan.

Namun, sejak pertukaran ketua jurulatih, peluang pemain muda ini agak terhad dengan kerap memanaskan bangku simpanan.

Dengan pengumuman rombakan besar-besaran bagi musim depan, ketua jurulatih, Eduardo Almeida pastinya telah memberitahu perancangannya dengan pemain yang tidak dikehendakinya mungkin sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sudah pastilah Jasmir merupakan salah seorang daripadanya dan pemain sayap itu menerusi Facebooknya melahirkan rasa sedih apabila tidak dapat menabur bakti bersama negeri kelahirannya.

Antara aksi Jasmir ketika menentang UiTM FC musim ini.
Menurut Jasmir, beliau bersyukur dapat menabur bakti bersama Melaka United dan mendoakan agar pasukan ini akan berjaya pada masa akan datang, biarpun tanpa sumbangannya.

"Hanya tinggal kenangan, berakhir sudah 2017. Pertama sekali aku ingin berterima kasih kepada keluarga dan penyokong Melaka United selama ini menyokong aku da  pasukan dari dulu sampai sekarang, kamu semua memang terbaik.

"Siapa tidak sedih kalau tidak dapat lagi berkhidmat untuk negeri kelahiran sendiri kan? Aku harap Melaka United kekal maju jaya dan terus kekal dalam liga (Super).

"Aku bersyukur dapat peluang untuk berkhidmat dengan pasukan kelahiran aku tetapi nak buat macam mana, aku anggap setakat ini rezeki dengan Melaka United. Mungkin ada hikmah disebalik semua ini, kekal positif dan jangan mudah putus asa untuk terus lebih berjaya dimasa akan datang dengan pasukan baharu," katanya.

Jasmir bakal beralih angin mencari pasukan baharu selepas ini dan berjanji dimana pun beliau berada pastinya sokongan terhadap Melaka United akan tetap kekal bersamanya.

"Selepas ini kena cari tempat, angin, kawan dan pengalaman baharu, manalah tahu kan? Rezeki Allah itu luas," ujarnya.

Terima kasih Jasmir atas sumbangan yang diberikan selama ini di Melaka United dan buktikan kepada semua mereka silap melepaskan anda pergi.

Foto: MUSA