.

.

Zubovich lengkapkan kuota import


Melaka United melengkapkan kuota pemain import bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2018 apabila menandatangani penyerang berasal dari Belarus,Yahor Zubovich.

Penyerang berusia 28 tahun itu memulakan karier sebagai pelatih di MTZ-RIPO Minsk sebelum menandatangani kontrak profesional bersama kelab divisyen dua Belarus, FC Torpedo Minsk sebelum beraksi bersama pasukan lain, setahun selepas itu.

Antara kelab yang pernah diwakili Zubovich adalah PMC Postavy pada 2006, MTZ-RIPO Minsk (2007), Dinamo Minsk (2008), Torpedo Zhodino (2009), Partizan Minsk (2010), Belshina Bobruisk (2011), Jagiellonia Bialystok (2012-2015), Naftan Novopolotsk (2012-2013), Neman Grodno (2013-2014, Slutsk (2015) sebelum ke Dinamo Minsk dan Torpedo Belaz.

Untuk rekod, sepanjang karier Zubovich, penyerang berketinggian 1.84 meter ini pernah menjuarai Piala Belarus bersama Neman Grodno dan menjaringkan 16 gol dalam 45 penampilan sepanjang dipinjamkan ke kelab divisyen satu tersebut.

Melaka United menerusi kenyataan di Facebook mengesahkan penyertaan Zubovich dalam pasukan yang diharapkan mampu memperkuatkan jentera serangan pasukan musim depan.

'Penyerang yang berumur 28 tahun ini diharap dapat menambah sengat di barisan hadapan pasukan Melaka United. Kehadiran Zuvbovich telah melengkapkan kuota import untuk Melaka United," katanya.

Turut hadir ketika majlis menandatangani kontrak tersebut adalah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Ketua Jurulatih, Eduardo Almeida.

Mampukah Zubovich menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Malaysia dengan pantas? Kita harapkan penyerang ini mampu menyinar bersama pasukan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.