Dua rakan senegara, Muhammad Hafiz Abu Sujad dan Muhammad Faris Ramli diundang menjalani percubaan bersama Melaka United namun, rezeki ternyata berpihak kepada seorang lagi pemain tengah dari Singapura, Shahdan Sulaiman dipilih memperkuatkan pasukan Liga Super itu musim ini.
Biarpun tidak menjalani peringkat sama seperti pemain berkenaan, Shahdan diikat Melaka United secara pinjaman semusim kerana mempunyai baki kontrak bersama pasukan Liga Singapura (Liga S), Tampines Rovers.
Muhammad Faris dilapor menjalani percubaan bersama Perak selepas Melaka United memilih Shahdan. |
Yang menjadi perbezaan dan persoalan peminat adalah mengapa pengurusan lebih cenderung mengambil pemain berusia 30 tahun itu selepas Muhammad Hafiz dan Muhammad Faris menyinar ketika menjalani percubaan bersama Melaka United.
Jika anda datang sendiri menyaksikan sesi latihan pasukan di Stadium Hang Jebat, pastinya akan menemui sebab mengapa Shahdan menjadi pilihan.
Selaku jeneral di bahagian tengah, Shahdan merupakan jawapan kepada ketua jurulatih, Eduardo Almeida yang 'kehilangan' perancang kreatif pada musim lalu.
Shahdan mempunyai kawalan bola yang baik dan visi dalam merencanakan gerakan dijangka bakal menjadi antara nama utama dalam kesebelasan Melaka United musim ini.
Shahdan (kiri) ketika menjalani latihan bersama Melaka United. |
Biarpun begitu, pemain dari seberang tambak ini tetap merendah diri dan menyatakan kesediaannya merebut kesebelasan utama Melaka United sekali gus membantu pasukan mencapai misi sekurang-kurangnya berada di kedudukan lima terbaik.
"Pengalaman bersama Tampines di Liga S dan mewakili pasukan kebangsaan akan digunakan sebaik mungkin ketika menyarung jersi Melaka United.
"Pada saya tugasan tetap getir untuk berdepan lawan yang turut memiliki reputasi hebat dengan barisan pemain berwibawa. Namun saya yakin gabungan pemain import dan tempatan akan memberi impak besar terhadap sasaran pasukan menduduki lima kelompok teratas liga," katanya kepada BH Online semalam.
Shahdan bergambar bersama trofi Piala FA yang dimenangi pada 2015. |
Shahdan berpengalaman beraksi di Liga Super ketika bersama Lion XII serta pernah mendakap trofi Piala FA pada 2015 ketika bersama skuad bimbingan Fandi Ahmad itu.
Melaka United United bakal terbang ke Vietnam bagi mengharungi jelajah di negara ASEAN itu selepas mengharungi tiga aksi persahabatan termasuk tewas kepada Negeri Sembilan 1-2, Malaysia bawah 22 (0-0) dan UKM FC (6-0).
Shahdan mengisi kuota import ASEAN bersama empat tonggak lain seperti Jeon Woo-Young dari Korea Selatan, Steven Thicot (Perancis), Tiago Gomez (Portugal) dan Yahor Zubovich (Belarus).
Foto: BH Online, FB