Posisi penjaga gol merupakan antara kelemahan yang dapat dikesan sepanjang musim lalu sehingga menyaksikan gawang Melaka United bocor 46 kali dalam 22 perlawanan Liga Super, rekod pasukan bolos terbanyak dalam kempen tersebut.
Melihatkan kepada statistik itu, ketua jurulatih, Eduardo Almeida lantas mengambil langkah drastik melakukan rombakan dengan hanya Mohd. Fazli Paat sahaja dikekalkan daripada lima penjaga gol yang ada musim lalu.
Susulan itu, dua penjaga gol ditandantangani, Mohd. Zamir Mohd. Selamat dari PKNS FC dan benteng terakhir Sime Darby FC, Mohd. Faridzuean Kamaruddin.
Selepas mengharungi empat perlawanan pramusim 2018, Almeida memberi peluang kepada ketiga-tiga penjaga gol ini beraksi dan dalam aksi menentang kelab Vietnam, Becamex Binh Duong semalam, Mohd. Faridzuean dipilih bagi menggalas tugas mengawal gawang gol Melaka United.
Saingan tiga penjaga gol bagi mengisi satu posisi dalam kesebelasan utama Melaka United. |
Bagi penjaga gol berpengalaman, Mohd. Zamir, peluang menyertai Melaka United tidak akan dipersia-siakannya dan berharat mahu membalas kepercayaan yang diberikan Almeida bagi membantu julang nama pasukan ke peringkat lebih tinggi.
"Sudah pasti saya mahu mengulangi prestasi terbaik yang pernah diraih dalam karier bola sepak yang merupakan saat manis pernah dinikmati sebelum ini.
"Selepas mengalami kecederaan agak serius, saya yakin inilah masanya untuk saya mendapatkan sentuhan itu semula di bumi Hang Tuah," katanya kepada BH Online, baru-baru ini.
Mohd. Zamir cuba menghalang Tiago Gomez daripada cuba membolosi gawangnya. |
Penjaga gol berusia 29 tahun ini turut pernah mewakili negara dalam pelbagai kategori umur, bawah 21 tahun (B-21), B-23 dan skuad kebangsaan.
Mohd. Zamir (kiri) dan rakan sepasukan gigih menjalani latihan ketika berada di Vietnam. |
Katanya, dia teruja dengan kebangkitan dan suasana semasa perlawanan yang dibangkitkan penyokong Melaka United serta Ultras Taming Sari seiring dengan kebangkitan pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
Siapa yang bakal jadi pilihan di benteng terakhir Melaka United?
Foto: MUSA