.

.

Bukan isu gaji tertunggak - Mohd. Yusoff


Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menafikan dakwaan pasukan itu gagal menyelesaikan isu gaji tertunggak dua bekas pemain import, Labinot Harbuzi dan Omid Nazari  seperti yang dilaporkan media semalam. 

Sebaliknya, Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi berkata, dua kes yang dibawa ke badan induk bola sepak antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan tuntutan bonus bayaran pampasan berikutan penamatan awal kontrak pemain berkenaan.

Labinot Harbuzi membawa isu bonus kepada FIFA.
"Kami tiada masalah membayar gaji, setiap tahun gaji pemain dibayar tanpa ada sebarang tunggakan setakat ini. Namun, saya mengakui Melaka United mempunyai dua kes dengan FIFA tapi bukan membabitkan tunggakan bayaran gaji.   

"Labi membawa kes itu kepada FIFA berhubung bayaran bonus manakala Omid pula tidak berpuas hati dengan bayaran pampasan apabila kontraknya ditamatkan sebelum musim bermula. Kami tamatkan kontraknya lebih awal kerana prestasinya tidak seperti yang diharapkan.   

"Di sini bukan masalah kita tak bayar, tapi pemain tidak berpuas hati dengan bayaran yang dibuat dan bila timbulnya isu seperti ini, pastinya akan dibawa ke pengetahuan FIFA. 

"Jadi, FIFA yang akan buat keputusan. Jika FIFA membuat keputusan kami bersalah dan perlu membayar tuntutan itu, kami tak ada masalah bayar semula," katanya kepada BH Online semalam. 

Melaka United tidak pernah gagal dalam menyelesaikan gaji pemain.
Melaka United merupakan antara empat pasukan Liga Super termasuk PKNS FC, Kelantan dan Perak yang berkemungkinan berdepan tindakan FIFA apabila terbabit dengan kes tunggakan pembayaran gaji yang kini dibawa ke pengetahuan badan induk antarabangsa itu.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya sentiasa menitik beratkan soal kebajikan pemain terutama gaji, namun segala bayaran adalah mengikut kontrak yang dipersetujui.  

"Kita tak pernah ada kes bila sudah sampai bulan Disember. Soal gaji pemain adalah keutamaan pihak pengurusan kerana itu kami berbelanja mengikut kemampuan kewangan kami," katanya.
Powered by Blogger.