Contohi keberanian Selangor bariskan pemain muda


Kekalahan dalam aksi kedua kempen Liga Super 2018 kepada Selangor seharusnya dijadikan ikhtibar buat skuad bimbingan Eduardo Almeida bagi memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan yang ada apatah lagi musim ini baharu sahaja membuka tirainya.

Isu kecederaan pemain utama menyebabkan Almeida terpaksa melakukan beberapa rombakan selepas pertahanan, Nicholas Swirad dan Mohd. Azmi Muslim serta S. Chanturu terpaksa diketepikan untuk perlawanan menentang The Red Giant.

Keadaan itu tampak menjejaskan keampuhan benteng Melaka United apabila pengganti Swirad dan Mohd. Azmi iaitu Khair Jeffri Jones Muhammad Syawal Norsam gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan malam tadi.

Justeru itu, tidak hairanlah jika tiga daripada gol yang diperoleh Selangor terhasil daripada kesilapan barisan pertahanan Melaka United yang agak gugup terutama di separuh masa kedua khususnya selepas lawan memperoleh gol kedua yang berpunca daripada salah faham antara pertahanan dan penjaga gol.

Namun, disebalik kekalahan itu, ada sesuatu yang menarik perlu dibelajar staf kejurulatihan Melaka United, memberikan peluang kepada pemain-pemain muda untuk beraksi dalam skuad utama.

Dalam perlawanan malam tadi, Selangor turut kehilangan dua tonggak, Ilham Udin dan Azammuddin Akil  ketika menundukkan Kuala Lumpur 2-0 di gelanggang sama minggu lalu.

Ketua jurulatih, P. Maniam sebaliknya memilih untuk menyeraikan pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Muhd. Syahmi Safari bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan serta bekas pemain Melaka United, Mohd. Amri Yahyah.

Kugan (kiri) merantai pergerakan Ahmad Fakri dalam aksi Liga Super malam tadi.
Yang menariknya, The Red Giant berani mempertaruhkan pemain muda seperti D. Kugan dan K. Kannan di bahagian pertahanan kiri dan kanan yang secara tidak langsung beraksi sebagai wing back untuk pasukan berkenaan.

Muhd. Syahmi membalas kepercayaan Maniam dengan dua gol, Kugan dan Kannan berjaya membataskan pergerakan di bahagian sayap Melaka United khususnya di separuh masa pertama yang memperlihatkan kapten, R. Surendran dan Ahmad Fakri Sa'arani tidak banyak melakukan gerakan berbahaya.

Ini sebenarnya yang perlu Melaka United pelajari. Bukan terus memberikan tempat dalam kesebelasan utama tetapi secara perlahan-lahan 'perkenalkan' mereka dengan rencah Liga Super kerana dengan cara ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kematangan dan kualtiti yang ada pada pemain muda.

Pemain termuda yang dimiliki Melaka United ketika ini dalam skuad utama adalah penjaga gol yang direkrut dari Sime Darby FC, Mohd. Faridzuean Kamaruddin sementara anak jati negeri, Nurshamil Abd. Ghani masih lagi mengintai peluang untuk membarisi kesebelasan utama.

Tujuh daripada sembilan pemain bawah 19 tahun Melaka United dipanggil Bojan Hodak.
Baru-baru ini, seramai sembilan pemain skuad bawah 19 tahun Melaka United dipanggil menyertai sesi latihan dan pemilihan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak dan itu sebenarnya membuktikan negeri ini tidak ketandusan pemain muda berkualiti yang mampu menyinar pada masa akan datang.

Muhammad Syakhir Muhd Razali, Muhammad Aidil Azuan, Muhammad Ridhwan Mohd. Nazri, Zainul Arif Ahmad Latifi, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Muhammad Irfan Faiz, Mohd. Saharudin, Muhammad Izreen Izwandy, Muhammad Nizaruddin Jazi dan Mohamad Khussaini Adli Mohd. Yusof merupakan 'ubi' yang perlu dijaga dengan baik Melaka United agar tidak disambar pasukan lain.

Namun, janganlah biarkan 'ubi' ini sekadar terbenam dalam tanah tampa dikeluarkan isinya yang cukup manis apabila dinikmati. 

Foto: MUSA, Utusan Online