.

.

Pertahanan rapuh buat Melaka United gigit jari


Daripada hero akhirnya menjadi zero (kosong). Penjaga gol Melaka United, Mohd. Zamir Selamat pada satu ketika muncul wira pasukan apabila menyelamatkan sepakan penalti penyerang Selangor, Rufino Segovia sekali gus menafikan gol kedua tuan rumah sebelum berakhirnya babak pertama.

Namun, lain cerita pada 10 minit pertama separuh masa kedua apabila Mohd. Zamir melakukan kesilapan apabila gagal mengeluarkan bola dengan menyepaknya kepada pemain lawan sebelum mudah disudahkan Mohd. Syahmi Safari untuk gol kedua lawan, yang merupakan turning point atau titik perubahan perlawanan.

Itu antara skrip yang dicipta barisan pemain Melaka United ketika menentang Selangor di Stadium KLFA Cheras malam tadi.

Masih segara dengan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan minggu lalu, ketua jurulatih, Eduardo Almeida melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utamanya akibat kecederaan.

Sepakan penalti Selangor berjaya diselamatkan Mohd. Zamir.
Nicholas Swirad dan Mohd. Azmi Muslim disisihkan akibat kecederaan sementara S. Chanturu bermula dari bangku simpanan dengan Syawal Norsam, Khair Jefri Jones dan Ahmad Fakri Sa'arani diberi peluang mengisi kesebelasan utama.

Kegagalan atau dengan kata mudah kurangnya persefahaman di barisan pertahanan memberikan Selangor gol pertama seawal minit kelapan hasil jaringan Segovia.

Tiago Gomez menceriakan penyokong Melaka United pada minit ke-30 apabila sepakan percuma cantik dari jarak 30 ela berjaya menerjah jaring tuan rumah.

Gomez berjaya sempurnakan sepakan percuma cantik untuk gol tunggal Melaka United.
Moral pemain kian bertambah pada babam kedua apabila Melaka United mula mendominasi perlawanan menerusi beberapa gerakan berbahaya namun serangan balas pantas Selangor membuahkan hasil pada minit ke-54 apabila salah faham antara Steven Tricot dan Mohd. Zamir membenarkan Mohd. Syahmi meledak gol kedua The Red Giant.

Gol itu seolah-olah merentap semangat juang pemain Melaka United apabila melepaskan satu lagi gol, juga berpunca daripada kesilapan pertahanan yang gagal mengeluarkan hantaran lintang dengan baik yang mudah disempurnakan Segovia untuk gol kedua peribadinya malam tadi.

Almedia melakukan beberapa pertukaran selepas itu dengan memasukkan R. Gopinathan, Farderin Kadir dan Nurshamil Abd. Ghani serta merubah formasi kepada 3-4-3.


Namun kelekaan dalam memburu gol dihukum apabila Selangor memperoleh gol keempat sekali lagi menerusi jaringan cantik Mohd. Syahmi pada minit ke-90.

Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki Almeida ketika kempen Liga Super baharu sahaja membuka tirainya khususnya di barisan pertahanan yang agak goyah dengan ketiadan gandingan Swirad-Tricot.

Selain itu, barisan tengah dilihat terlalu lama mengawal bola sehingga sedikit merencatkan pergerakan serangan terutama ketika penyerang tunggal, Yahor Zubovich memerlukan hantaran terus memecah benteng lawan.

Selepas ini, Melaka United bakal melayan kunjungan pasukan jiran, Negeri Sembilan Ahad ini dan diharapkan segala kelemahan dapat diperbaiki segera agak momentum kemenangan dapat dikembalikan.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.