.

.

Khairul Fahmi ke Melaka United


Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya mencapai kata sepakat berhubung masa depan penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Kafa memilih untuk melepaskan Apek ke Melaka United (MU) apabila pintu perpindahan kedua dibuka pertengahan bulan depan.

Malah, jelas usahawan batik itu, Apek turut bersetuju menyertai pasukan skuad Sang Kancil yang dikendalikan jurulatih Eduardo Almeida.

"Tawaran rasmi daripada Melaka United itu diterima atas persetujuan bersama kedua-dua belah pihak," katanya kepada mStar Online.

Pada masa sama, Bibi turut memuji sikap profesional Apek yang dianggap sebagai satu pengorbanan besar kepada The Red Warriors (TRW).

"Baginya bakat yang ada tiada guna kalau tidak dapat membantu pasukan. Saya berterima kasih di atas pengorbanan yang dilakukannya itu demi Kelantan," katanya.

Bibi turut mendoakan kejayaan penjaga gol berusia 29 tahun itu bersama pasukan baharunya.

"Semoga dia terus sukses bersama sebuah kelab yang hebat. Saya yakin dia dapat membantu pasukan baharunya kelak berbekalkan pengalaman dan kredibilitinya bersama Kelantan sejak 2009," kata usahawan kelahiran Kok Lanas, Kelantan itu.

Sebelum ini Kafa terpaksa melepaskan Apek dan seorang lagi pemain senior, Mohd Badhri Mohd Radzi kerana kedua-duanya tiada dalam perancangan ketua jurulatih, Fajer Ibrahim.

Apek ketika dihubungi mStar Online turut mengesahkan dia akan angkat kaki apabila pintu perpindahan kedua dibuka pertengahan bulan depan.

Penjaga gol TRW itu berkata dia akur dengan keputusan Kafa yang sudah tidak lagi mahukan khidmatnya.

“Saya sah akan berhijrah. Perasaan saya bercampur baur, sedih kerana saya sudah lama bersama Kelantan apatah lagi pasukan ini sudah sebati dengan jiwa saya.

“Namun saya perlu berfikiran positif bahawa jodoh saya bersama Kelantan hanya sampai di sini sahaja tahun ini,” katanya.

Difahamkan selain Melaka United, khidmat Apek turut diintai Kuala Lumpur tetapi pasukan itu tidak membuat tawaran secara rasmi sebelum ini.

Foto: Kelantan FA
Powered by Blogger.