Biarpun pulang dengan satu mata dari Stadium Perak di Ipoh, mutu permainan yang berbeza ditampilkan sudah pasti membuatkan penyokong tidak sabar menantikan aksi seterusnya di Liga Super.
Nicholas Swirad ditolak ke sebelah kanan, Steven Thicot digandingkan bersama Khair Jefri Jones sementara Mohd. Azmi Muslim diletakkan di pertahanan kiri.
Larian Gopinathan mengucar-kacirkan pertahanan Perak. |
Rafiuddin Uddin yang masuk menggantikan Nazirul Naim terlebih dahulu menguji kehebatan Khairul Fahmi di gawang Melaka United namun berjaya diselamatkan bekas penjaga gol Kelantan itu.
Sivanesan kemudiannya mendatangkan cemas kepada penjaga gol lawan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy namun cubaan jarak jauhnya sedikit tersasar.
Beberapa gerakan berbahaya menerusi Gopinathan, Zubovich dan Ahmad Fakri namun gagal menembusi gawang tuan rumah.
Khairul Fahmi kemudiannya menyelamatkan sepakan percuma dari jarak tengah padang pada masa kecederaan bagi mengelakkan Melaka United ketingggalan pada waktu rehat.
Perak melakukan serangan awal pada separuh masa kedua apabila percubaan Nasir Baharuddin diselamatkan Khairul Fahmi sekali gus menafikan gol pertama tuan rumah.
Zubovich memperoleh peluang terbaik pada minit ke-73 selepas lariannya masuk ke dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan leret sedikit tersasar biarpun Hafizul Hakim sudah tertewas.
Keputusan ini tidak mengubah kedudukan Melaka United di tempat kesepuluh dengan kutipan 10 mata daripada 10 perlawanan.