'Patahnya sayap' Lang Merah di Jebat


Bertahan dengan baik dan kemudian  gerakan serangan balas pantas yang akhirnya memerangkap lawan.

Masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Kedah di Stadium Darulaman dalam pertemuan sebelum ini, Melaka United mempamerkan semangat juang tinggi apabila sekali lagi menundukkan lawan sama 4-1 di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.


Kembalinya ketua jurulatih, E. Elavarasan dan trio Johor Darul Ta'zim (JDT), corak permainan Melaka United tampak berbeza apabila hampir semua pemain di setiap posisi beraksi baik.

Biarpun diasak sejak wisel permainan ditiupkan, pertahanan Melaka United berjaya menyerap setiap serangan Kedah yang diterajui Paulo Rangel, Andik Vermansyah dan Baddrol Bakhtiar.


Kesukaran masuk ke dalam kotak penalti Melaka United menyebabkan Kedah buntu dan kerap melakukan cubaan dari luar kotak dan situasi berkenaan dimanfaatkan dengan baik tuan rumah.
Khair Jefri Jones meletakkan Melaka United di depan pada minit ke-34 berpunca daripada kesilapan Andik.


Tiga minit berselang, R. Gopinathan menggandakan jaringan tuan rumah apabila lariannya tidak disedari pertahanan Kedah sebelum lolos dan melepaskan rembatan melepasi kawalan penjaga gol lawan.

Kedah cuba bangkit di babak kedua dan merapatkan jurang apabila Rangel menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 bagi membakar semangat juang pelawat.


Namun, Gopinathan terus mencatatkan gol peribadi keduanya menerusi serangan balas pantas Melaka pada minit ke-62, seakan ulangan gol pertamanya.


Wira sebenar Melaka United, Ifedayo Olusegun yang merekodkan tiga bantuan gol akhirnya mencetak nama sebagai penjaring apabila sepakan voli rendahnya dari luar kotak gagal diselamatkan bagi memberikan kemenangan mutlak 4-1 kepada tuan rumah.


Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke tangga ketujuh dengan 23 mata dengan kedudukan pasukan ini di Liga Super hanya akan terjamin jika Negeri Sembilan atau Kelantan gagal mencatat kemenangan malam esok.

Negeri Sembilan bakal bertandang ke Shah Alam menentang PKNS FC sementara Kelantan bakal melayan kunjungan Selangor di Kota Bharu.

Foto: MUSA