.

.

4 kapten, usah biarkan 'pisang berbuah dua kali'


Kejayaan Melaka United mendapatkan beberapa pemain tempatan bertaraf bintang wajar diberikan pujian biarpun ada dalam kalangan mereka menuju pengakhiran karier.

Tiga bekas kapten seperti Mohd. Shukor Adan dari Felda United, Razman Roslan (Pahang) dan Safiq Rahim (Johor Darul Ta'zim) kini sepasukan dengan bekas skipper Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat. 

Persoalan mengenai siapa bakal dipilih sebagai jeneral di tengah padang oleh ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan pastinya akan terarah kepada keempat-empat pemain tersebut memandangkan kesemua mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan tersendiri.

Namun, anak jati Melaka, Mohd. Shukor disebut-sebut bakal memakai lilitan lengan tersebut sementara Safiq pula mungkin dipilih sebagai naib kapten.

Harus diingatkan, Zainal Abidin perlu lebih berhati-hati dalam memilih ketua pasukan kerana insiden perebutan tugas berkenaan pernah belaku di Melaka United beberapa tahun lalu.

Tidak mahu menyebut nama, kemasukan pemain kebangsaan yang merupakan seorang kapten juga didakwa mengganggu keharmonian yang sebelum itu telah mempunyai ketua pasukan yang dipilih ketua jurulatih.

Biarpun kedua-dua menafikan di media dan media sosial namun salah seorang daripada mereka pernah mendedahkan mengenai perebutan lilitan kapten itu antara mereka.


Apapun, diharapkan sesiapa pun yang diamanah dapat menggalas tanggungjawab dengan cemerlang sementara yang tidak dipilih beraksilah demi lencana di dada.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.