.

.

Gol lewat Markovic benam Selangor United


Aksi pramusim yang tipikal memperlihatkan pelbagai kepincangan yang boleh diperbaiki daripada semasa ke semasa sebelum bermulanya aksi kompetetif.

Menang 3-2 ke atas pendatang baharu Liga Premier, Selangor United, Melaka United yang menurunkan lebih separuh pemain baharu termasuk tiga import tampak sedikit canggung beraksi bersama.

Persefahaman antara pemain perlu dibentuk pada sesi latihan dan aksi pramusim seterusnya menentang Negeri Sembilan 5 Januari depan.

Hampir dua minggu berlatih bersama bukanlah satu jangka masa yang panjang dan pemain perlu diberikan ruang memahami rakan sepasukan juga taktikal yang diterapkan ketua jurulatih serta berusaha mengembalikan segera kecergasan.


Dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi, Melaka United terlebih dahulu berada di depan pada minit ketiga menerusi sepakan penalti Safiq Rahim.

Barisan pertahanan Melaka United diketuai Mohd. Shukor Adan pada awal permainan tampak sedikit goyah dengan gerakan-gerakan yang diatur Selangor United.

Namun, pelawat bangkit menyamakan kedudukan setengah jam kemudian menerusi jaringan Yusaini Hafiz sebelum menambah gol kedua menerusi pemain import, Nikita Andreev pada minit ke-47.

Melaka United berjaya menyamakan kedudukan 2-2 sekali lagi menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Luka Milunovic pada minit ke-64 sebelum pemain tengah, Darko Markovic meledak gol kemenangan tiga minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Kelibat pemain sayap baharu, Ramzi Haziq Mohamad yang dibawa masuk dari Johor Darul Ta'zim II (JDT2) mencuri tumpuan selepas masuk sebagai pemain gantian.


Pemain berusia 24 tahun itu kerap mengucar-kacirkan pertahanan lawan dan kerap bertukar posisi dengan Mohd. Nazrin Mohd. Nawi di bahagian sayap.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.