Kehadiran ramai pemain berpengalaman serta faktor keserasian bersama jurulatih, Zainal Abidin Hassan membuatkan Raimi Md Nor cukup yakin, skuad Melaka United mampu menjadi pencabar utama Liga Super bagi musim 2019.
Raimi, bekas pemain pertahanan Selangor dan Pulau Pinang, pernah beraksi selama enam musim dengan skuad The Red Giant termasuk ketika di bawah bimbingan Zainal.
Bahkan, dia sekali lagi mengikut jejak langkah bekas pemain kebangsaan itu bertukar angin apabila berganding bahu memperkuatkan skuad Pulau Pinang dan kali ini, mereka memilih Melaka United.
Atas faktor itu, Raimi yakin dia mampu meneruskan hubungan baik dengan pengendali berpengalaman berkenaan yang akan disokong oleh pembantu berkaliber, Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal serta Mazlan Wahid.
Katanya, walaupun Melaka United meletakkan sasaran meraih kedudukan keempat Liga Super, namun secara peribadi, dia yakin dan mahu melonjakkan pasukan itu ke tangga ketiga liga atau lebih baik.
"Itu (sasaran) adalah motivasi buat diri sendiri untuk memberikan persembahan terbaik bersama skuad Hang Tuah.
"Penyertaan ramai pemain berpengalaman, termasuk Shukor Adan, Safiq Rahim, Razman Roslan, Nazrin Nawi, R Gopinathan, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman dan Khairul Fahmy Che Mat mengukuhkan pandangan saya, tidak mustahil matlamat itu mampu direalisasikan.
"Malah, kami juga yakin dengan penyertaan pemain muda seperti Saiful Riduwan Selamat dan Nurshamil Abd Ghani yang bakal menerbitkan saingan sihat kepada barisan pasukan," katanya seperti dilaporkan BH Online semalam.
Raimi yang pernah beraksi bersama KL Plus, Sime Darby, Felda United dan skuad kebangsaan menegaskan, situasi itu akan memberikan Zainal lebih banyak pilihan untuk menyenaraikan skuad terbaik.
Foto: MUSA