.

.

Casagrande buktikan ketajaman penyudah


Kemenangan 2-1 ke atas kelab Vietnam, Sai Gon FC petang tadi merupakan penutup kepada jelajah pramusim Melaka United ke negara tersebut.

Dua gol daripada penyerang import, Anselmo Arruda 'Casagrande' Da Silva memastikan Melaka United pulang dengan rekod satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Namun, jika dinilai berdasarkan prestasi enam perlawanan pramusim 2019, Melaka United merekodkan empat menang, satu seri dan satu kekalahan jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya sejak dinaikkan pangkat dari Liga FAM pada 2015.

Empat kemenangan tersebut dirakamkan ketika menentang Selangor United (3-2), Negeri Sembilan (2-0), Singapore Warriors FC (5-1) dan terbaharu, Sai Gon FC (2-1).

Keputusan seri pula dicatatkan dalam aksi sulung jelajah Vietnam menentang Becamex Binh Duonh (3-3) sementara Melaka United tewas 1-3 kepada Ho Chi Minh City.


Secara keseluruhannya, sebanyak 16 gol dijaringkan anak buah Zainal Abidin Hassan dan dibolosi sebanyak 10 kali dalam enam perlawanan.

Berdasarkan enam aksi pramusim yang dilalui, beberapa kelemahan dikenal pasti khususnya dalam membina benteng ampuh, bahagian sayap yang kurang berfungsi dengan baik dan terdapat pemain import yang dirasakan tidak cukup bagus menyarung jersi Melaka United.

Di bahagian benteng terakhir, Khairul Fahmi Che Mat dijangka mengisi posisi berkenaan sementara dua lagi penjaga gol, Oscar Wong Tse Yang dan Muhammad Syafizullah Abd. Wahab dijangka bersaing sebagai pengganti.

Sepanjang aksi pramusim, Zainal Abidin mencuba beberapa gandingan termasuk pemain import, Jang Seok-won, Razman Roslan dan Mohd. Shukor Adan.

Biarpun dibolosi 10 gol dalam enam perlawanan, itu bukan ukuran terhadap prestasi untuk musim ini kerana ketua jurulatih  
Melaka United ini mungkin sudah mempunyai 'back four'nya sendiri.

Jentera tengah Melaka United tampak hidup dengan adanya Safiq Rahim. Visi hantaran pendek dan panjangnya membuatkan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menjadi sasaran pemain lawan untuk dikawal ketat.

Menjaringkan tiga gol sementara seorang lagi pemain nombor '10', Luka Milunovic merekodkan empat gol menjadikan barisan tengah Melaka United agak menjadi di sepanjang pramusim.

Namun begitu, di bahagin sayap tampak masih ada banyak yang perlu ditingkatkan terutama nama besar seperti Mohd. Nazrin Nawi dan R. Gopinathan yang dilihat sedikit tenggelam.

Pun begitu, kelibat anak Melaka, Ramzi Haziq Muhammad di bahagian sayap mencuri tumpuan biarpun kerap dimasukkan sebagai pemain gantian. Larian bertenaganya di bahagian sayap begitu menjadi dan mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Di jentera serangan, Zainal Abidin dijangka mengekalkan formasi penyerang tunggal yang pastinya menjadi milik Casagrande yang meledak lima gol dalam empat perlawanan.

Melaka United dijangka mengadakan satu atau dua perlawanan sebelum bermulanya kempen Liga Malaysia bulan depan.

Berikut merupakan kesebelasan utama kemungkinan Melaka United musim ini:-

Khairul Fahmi, Razman Roslan, Shukor Adan, Seok-won, Raimi Md. Nor, Darko Markovic, Safiq Rahim, Nazrin Nawi, Luka Milunovic, Ramzi Haziq, Anselmo Casagrande.





Powered by Blogger.