.

.

Casagrande sah ganti Ifedayo


Melaka United dijangka menawarkan kontrak semusim kepada semua pemain import yang menjalani ujian sepanjang tiga perlawanan pramusim 2018 selepas berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan.

Empat pemain yang dimaksudkan adalah  Jang Seok-won dari Korea Selatan, Luka Milunovic (Serbia), Darko Markovic (Montenegro), Anselmo Arruda ‘Casagrande’ da Silva (Brazil). 

Pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, aksi pemain import yang diuji amat memberangsangkan dan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan corak dan prestasi ditampilkan.

“Pemain import (prestasi) setakat ini Zainal Abidin sangat puashati dan dari persembahan mereka secara dasarnya dah boleh dikekalkan.

“Lagi pun kita kesuntukan masa untuk mencari pemain gantian,” katanya.

Ketika ditanya mengenai status bekas penyerangnya, Ifedayo Olusegun, Mohd Yusof menjelaskan, pihaknya gagal mendapat kata persetujuan bagi memperoleh khidmat pemain berkenaan.

“Di peringkat awalnya memang tiada persetujuan, tetapi akhir-akhir ini baru dengar macam hendak berunding semula.

“Tetapi, kita sudah ada komitmen termasuk Zainal Abidin, jadi dengan keadaan (rundingan) ini agak sukar sikit ,” katanya.

Status kesemua pemain import telah disahkan Mohd Yusoff tadi termasuk Casagrande membuktikan Melaka United sudah melupakan khidmat Ifedayo bagi posisi menyerang.

Ifedayo sebelum ini pernah memberitahu beliau masih belum mendapat sebarang jawapan mengenai penyambungan kontraknya setelah membantu pasukan kekal bersaing di Liga Super dan menolak tawaran beberapa kelab lain.

Casagrande yang menggantikan posisi Ifedayo pula menjaringkan dua gol bagi membantu Melaka United menang 5-1 ke atas Singapore Warriors FC bagi aksi pramusim ketiga.

Bekas penggempur Felcra FC berasal dari Brazil itu nyaris menjaringkan hatrik bagi aksi pertamanya di hujung perlawanan di kelab berkenaan sebelum digantikan Nurshamil Abd. Ghani pada separuh masa kedua.
Powered by Blogger.