.

.

Melaka United tumpaskan Negeri Sembilan


Tiada pemain import baharu diuji namun aksi menentang Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan Luka Milunovic meledak gol keduanya dalam dua perlawanan.

Biarpun dikhabarkan akan ada pemain import baharu termasuk bekas penyerang Felcra United, Anselmo Arruda Da Silva 'Casagrande akan diuji namun hanya kelibat Milunovic, Darko Markovic dan Jang Seok-won sahaja disenaraikan Melaka United.

Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menundukkan Selangor United 3-2 minggu lalu dengan memberi peluang kepada beberapa muka baharu termasuk Razman Roslan beraksi bagi mengemudi benteng pertahanan.

Peluang pramusim ini perlu dimanfaatkan setiap pemain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama terutama bagi posisi yang mempunyai pemain import.

Kemasukan Safiq Rahim ke dalam skuad Melaka United jelas membawa diemensi baharu terhadap gerakan serangan yang diatur khususnya menerusi hantaran-hantaran berbahaya yang membelah pertahanan lawan.

Hasilnya, Milunovic meledak gol pertama Melaka United pada minit ke-14 menerusi hantaran cantik Safiq.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga meledak gol keduanya dalam dalam dua perlawanan pramusim apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Mohd Ramzy Haziq dijatuhkan dalam kotak penalti.

Kemenangan 2-0 ke atas pasukan jiran ini merupakan kemenangan kedua Melaka United pada aksi pramusim selepas menundukkan Selangor United 3-2 minggu lalu.


Skuad bimbingan Zainal Abidin ini bakal mengharungi beberapa lagi aksi perlawanan pramusim sebelum membuka kempen Liga Malaysia 2019.
Powered by Blogger.