Kembalikan warna tradisi kami!


Kembalikan warna tradisi kami! 

Itu luahan penyokong bola sepak Melaka United susulan tindakan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang menukar warna jersi kepada putih bagi musim 2019.

Undian di Facebook Melaka United Media jelas menunjukkan daripada 1,000 penyokong, 71 peratus atau lebih 700 penyokong mahukan jersi hijau 'dikembalikan' sebagai jersi utama pasukan.

Mungkin ada dalam kalangan penyokong yang berpendapat biar apa pun warna jersi tidak akan menjejaskan pasukan namun kegagalan mempertahankan warna yang menjadi identiti pasukan sejak sekian lama adalah satu kerugian.


Ketepikan sebarang sentimen politik dan latar belakang, warna tradisi Melaka United ini perlu dikekalkan apatah lagi hijau telah menjadi kebanggaan dan merekodkan kegemilangan sejak dahulu lagi.

Bukan menuntut pengurusan MUSA menukar reka bentuk jersi tetapi kebanyakan penyokong berpendapat Melaka United hanya perlu mengubah susunan jersi, hijau menjadi jersi utama, putih kedua dan kuning sebagai jersi alternatif.

"Minta Ketua Menteri lulus ubah jersi utama kepad hijau. Majoriti penyokong datang ke stadium sinonim dengan warna hijau.


"Kembalikan hijau kami, ke Ketua Menteri kita fobia dgn warna hijau," kata pemilik akaun Facebook, Nizam Muhamad hari ini.


Seorang penyokong, Mohamad Azudin pula berkata, identiti pasukan perlu dikekalkan.

"Hijau perlu jadi jersi utama pasukan sampai bila-bila, itu yang penyokong mahukan. 


"Penyokong tidak pernah pertikaikan usaha pengurusan, mereka sudah buat yang terbaik bawa pemain berkualiti jadi yang penyokong mahu adalah kembalikan jersi hijau pada setiap perlawanan di gelanggang kita," ujanya.


Melaka United bakal mengenakan jersi baharu ini pada perlawanan pembukaan Liga Super 2019 menentang Petaling Jaya City pada 2 Februari ini di Stadium Hang Jebat, Krubong.