Berita baik buat penyokong Melaka United dan pasukan yang akan bertandang ke Stadium Hang Jebat musim ini apabila harga tiket bagi semua perlawanan diturunkan kepada RM10.
Bendahari Kehormat Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Yuhaizad Abdullah berkata, langkah itu merupakan usaha persatuan meringan beban penyokong untuk hadir ke stadium.
Katanya, pendekatan tersebut diharapkan mampu menarik kehadiran lebih ramai penyokong ke stadium sekali gus membakar semangat pemain menghadapi perlawanan di laman sendiri.
"Harga tiket bagi tempat duduk berbumbung (grandstand) adalah RM15, terbuka (RM10) dan kanak-kanak (percuma).
"Kadar lebih rendah musim ini berbanding musim lalu adalah usaha persatuan agar penyokong tidak terbeban untuk ke stadium. Semoga dengan keputusan ini menarik lebih ramai penyokong hadir memberikan sokongan pada setiap perlawanan di Stadium Hang Jebat," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi MUSA hari ini.
Melaka United yang dibarisi kira-kira 80 peratus muka baharu bakal membuka kempen Liga Super menentang Petaling Jaya City di Stadium Hang Jebat, Krubong Sabtu ini.