Pramusim berakhir, ayuh gegaukan Liga Super!


Kemenangan ke atas UiTM FC 3-0 malam tadi bermakna tamat sudah lapan aksi persahabatan pramusim Melaka United.

Gol-gol menerusi Safiq Rahim, Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva dan Patrick Alcala Reichelt memastikan Melaka United meraikan kemenangan keenam dalam persiapan menghadapi kancah Liga Malaysia.


Jika dilihat daripada rekod perlawanan, enam menang, satu seri dan satu tewas merupakan rekod terbaik pramusim yang dicatatkan Melaka United sejak kembalinya daripada Liga FAM pada 2016.

Menundukkan lawan seperti Selangor United, Negeri Sembilan, Singapore Warriors, Sai Gon FC, Sarawak dan UiTM FC, seri dengan Binh Duong dan hanya tewas sekali kepada Ho Chi Minh City.


Persoalannya, adakah aksi persahabatan pramusim ini merupakan bayangan sejauh mana anak buah Zainal Abidin Hassan ini mampu bersaing dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia tahun ini?


Jawapannya sudah tentu. Ini kerana dalam tempoh dua bulan ini keserasian dalam kalangan pemain semakin baik termasuk suasana di bilik persalinan biarpun skuad kali ini dibarisi empat bekas kapten.

Jentera serangan tidak pernah mengecewakan apabila meledak 22 gol dengan ratio 2.75 gol setiap perlawanan.


Di bahagian tengah, Safiq Rahim pula dilihat semakin selesa mengawal tempo permainan, merencanakan serangan dan menghasilkan gol dengan gandingannya bersama Darko Markovic serta Liridon Krasniqi tampak semakin menjadi.

Tidak berdepan pasukan dari Liga Super dalam aksi persahabatan, benteng pertahanan Melaka United semakin ampuh terutama sejak tewas 1-3 kepada Binh Duong.


Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman, Razman Roslan/Mohd Shukor Adan, Jang Seok-won dan Raimi Md Nor dijangka mengisi 'back four' Melaka United selepas Zainal Abidin menguji beberapa gandingan sepanjang pramusim.

Posisi benteng terakhir pula pastinya menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat yang baharu pulih daripada kecederaan sementara Oscar Wong Tse Yang yang kerap diturunkan pada aksi persahabatan menjadi pilihan kedua.

Yang pastinya, Zainal Abidin kini telah pun mendapat bayangan bagi kesebelasan utamanya bagi aksi pembukaan Liga Super menentang Petaling Jaya City 2 Februari ini.


Sejauh mana kejayaan pasukan kini bergantung kepada bagaimana pemain menyerap tekanan dan bermain mengikut acuan yang diterapkan ketua jurulatih.


Ayuh wira Melaka United, kita gegaukan Liga Malaysia!