.

.

Selesa sebagai pasukan bukan pilihan - Razman

Melaka United turun beraksi di Liga Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan walaupun kini dibarisi pemain berpengalaman dalam saingan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Bekas kapten kebangsaan dan Selangor, Razman Roslan berkata, beraksi sebagai skuad bukan pilihan lebih selesa buatnya dalam memenuhi sasaran pengurusan yang mahu meraih satu daripada semua piala dipertandingkan.

Katanya, situasi itu jelas tidak memberi tekanan kepada pemain dalam memberi komitmen 100 peratus, berbanding di label sebagai pasukan 'favourite'.

"Kami menunjukkan peningkatan memberansangkan dalam setiap perlawanan, termasuk siri persahabatan di Vietnam, baru-baru ini.


"Semua pemain tahu tanggungjawab masing-masing, sekali gus memudahkan persembahan secara berpasukan, malah setakat ini pemain berjaya menterjemahkan strategi dan perancangan jurulatih untuk memastikan keputusan positif pada setiap pertemuan terbabit," katanya kepada BH Online hari ini.

Razman yang bertukar lilitan kapten dengan Shukor Adan dan Safiq Rahim pada aksi pramusim setakat ini tampil berazam memperaga persembahan terbaik buat majikannya.

Justeru, pengalaman luas sebagai pemain akan dipraktikkan sebaik mungkin bergandingan bersama rakan import dan tempatan.


Razman mula menyertai skuad utama The Red Giants pada 2005 sebelum berhijrah ke Pahang (2013) dan menikmati kejuaraan Piala Malaysia (2005), Liga Super (2009, 2010), Piala FA (2005, 2009) dan Liga Perdana (2005).

Selepas tiga musim bersama Pahang, dia kembali ke pangkuan 'Merah Kuning' pada 2016 dan kini pastinya mahu mencipta kejayaan gemilang bersama skuad Hang Tuah.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.