Deevan Raj, Ramzi Haziq calon berpotensi ganti Gopi


Prestasi hambar yang dipamerkan R. Gopinathan dalam beberapa aksi awal Liga Super sememangnya mengecewakan penyokong.

Gopinathan atau Gopi sebelum ini dikenali dengan kelincahan dan larian derasnnya di bahagian sayap dilihat kurang menjadi sehinggakan merencatkan serangan Melaka United.

Beraksi di sayap kiri, Gopi dilihat beraksi terlalu ke luar (wide) sehingga membuka ruang besar antaranya dan pertahanan kiri, Raimi Md Noor.

Keadaan itu membuatkan bola yang dihantar kepadanya sering dipintas pertahanan lawan. Situasi tersebut mungkin disebabkan kurangnya persefahaman antara Gopi dan Raimi. 

Ini jelas kerana pemain sayap kelahiran Pahang itu biasanya gemar menerima bola yang dihantar terus ke depan berbanding ke kakinya kerana Gopi mempunyai kelajuan untuk menewaskan pertahanan lawan.   


Dan jika ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan mencari opsyen lain, dua pemain sayap, S.B. Devan Raj dan anak jati Melaka, Ramzi Haziq Mohamad merupakan pilihan terbaik.

Deevan Raj sudah beberapa perlawanan dimasukkan sebagai pemain gantian sementara Ramzi Haziq yang merupakan produk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota turut mencuri tumpuan sepanjang aksi pramusim.

Deevan Raj mempunyai larian dan hantaran silang baik mencuri tumpuan selepas dimasukkan menggantikan Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu.

Diletakkan di bahagian sayap menggantikan posisi Patrick Reichelt yang ditolak ke depan sebagai penyerang, aksi Deevan Raj mendapat pujian penyokong Melaka United.


Sementara itu, Ramzi Haziq yang dilihat lebih merendah diri turut merupakan pencabar bagi posisi di bahagian sayap Melaka United.

Ramzi Haziq mempunyai kemahiran menggelecek dan kelajuan dan pernah dilabel sebagai 'lipas kudung' ketika beraksi untuk JDT II.

Zainal Abidin perlu menilai semula prestasi Gopi dan merehatkannya jika perlu dan memberi ruang kepada dua pemain, Deevan Raj dan Ramzi Haziq untuk membuktikan sesuatu. 

Foto: MUSA