.

.

Larkin saksi kekalahan pertama Melaka United


Kekal kompak dan berdisiplin sepanjang 34 minit pertama perlawanan sehinggakan Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal bermain mengikut gaya mereka.

Namun, selepas dibolosi jaringan penalti Gonzalo Cabrera selepas percubaan Safawi Rashid dari dalam kotak penalti terkena tangan Jang Suk-won, rentak dan disiplin anak buah Zainal Abidin Hassan berubah.



Ini diburukkan lagi dengan kecederaan penyerang import, Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva pada awal permainan memaksa Zainal Abidin menolak Patrick Reichelt ke atas beraksi sebagai penyerang tunggal.

Corak permainan Melaka United kurang menjadi namun dua nama utama dalam kesebelasan utama, Liridon Krasniqi dan R. Gopinathan terus mempamerkan aksi hambar untuk dua perlawanan berturut-turut.


Gopinathan yang merupakan bekas pemain JDT beraksi terlalu ke tepi garisan dan mencipta ruang besar antara dia dan pertahanan, Raimi Md Nor untuk melakukan hantaran.

Sementara itu, gaya permainan Liridon yang gemar menyimpan bola di kaki terlalu lama sebelum diasak pemain lawan menyebabkannya kerap hilang bola atau melambatkan gerakan serangan Melaka United.

Ini jelas dilihat selepas Melaka United ketinggalan tetapi kepantasan pelawat untuk mencari gol penyamaan tidak seperti yang diharapkan dan membiarkan JDT terus menguasai perlawanan.


JDT kemudian menambah gol kedua pada minit ke-42 menerusi Safawi yang memperdaya dua pertahanan dan penjaga gol Melaka United sebelum menolak masuk bola ke gawang pelawat.

Menyedari Liridon kurang menjadi, Zainal akhirnya mengeluarkan pemain dari Kosovo itu dan membawa masuk pemain tengah bertahan, Saiful Ridzuwan Selamat.

Pertukaran itu menyaksikan Darko Markovic ditolak ke sedikit atas mengisi posisi Liridon.

Percaturan itu akhirnya berhasil apabila Markovic yang melorongkan bola ke Raimi di sebelah kiri sayap sebelum menghantar ke tengah untuk disudahlan Reichelt bagi gol tunggal Melaka United.


Ini merupakan kekalahan pertama Melaka United di Liga Super dan menjadi satu pengajaran berguna buat Zainal Abidin untuk memperbaiki kelemahan yang ada.


Ini termasuk menggugurkan pemain yang tidak konsisten daripada kesebelasan utama bagi memberi ruang kepada pemain untuk memperagakan kemampuan mereka.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.