.

.

Misi kekalkan rekod tanpa kalah di Larkin


Kejayaan mengikat Pahang 1-1 di laman sendiri Sabtu lalu membuktikan Melaka United mampu melakar kejutan dalam saingan Liga Super musim ini. 

Melaka United yang kini di kedudukan keempat liga, berkongsi tujuh mata dengan tiga pasukan lain kini memburu rekod tanpa kalah saingan Liga Super selepas mencatat permulaan terbaik sejak kembali ke Liga Super pada 2017.

Penolong Pengurus Melaka United, Yuhaizad Abdullah berkata, jika konsistensi mampu dikekalkan, tidak mustahil pasukan itu boleh melakar kejayaan sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini.

“Kita masih belum selamat kerana masih terlalu awal dengan semua lawan masih dalam pembentukan skuad mantap. Malah Petaling Jaya City dan PKNS FC juga mampu membuat kejutan biarpun masing-masing berada di kedudukan kelima dan keenam.


“Apa yang penting, Melaka United perlu segera membentuk keserasian terutama misi mengutip mata maksimum pada setiap perlawanan,” katanya seperti laporan Harian Metro semalam.

Melaka United bakal bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Seri Haji Hassan Yunos, Larkin berdepan penyandang Liga Super (JDT), Sabtu ini dengan misi mempertahankan aksi tanpa kalah serta mengimpikan kemenangan ke atas pasukan Harimau Selatan.

Yuhaizad berkata, jika corak permainan konsisten terus ditampilkan seperti ketika berdepan Tok Gajah, tidak mustahil JDT mampu ‘dijinakkan’ hujung minggu ini.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.