Melaka United tumbang di Kuala Terengganu


Mengekalkan disiplin yang diterapkan ketua jurulatih dengan baik untuk 20 minit separuh masa pertama, mengekang Terengganu (TFC) daripada mengatur serangan dan mencipta gerakan berbahaya ke kubu lawan.

Itu yang dapat dipamerkan pemain Melaka United sepanjang tempoh berkenaan namun sepakan penjuru pertama diperoleh tuan rumah merubah segalanya.

Sepakan penjuru yang diambil Andrew Lee Tuck pada minit ke-24 melencong ke belakang menemuk Nasrullah Haniff Johan yang tidak dikawal mudah menanduk masuk gol pertama TFC.

Melaka United berpeluang menyamakan kedudukan seminit selepas namun cubaan berganda penyerang, Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva dihalang pertahanan TFC dan diselamatkan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman.


Untuk rekod, Casagrande setakat ini hanya meledak satu gol untuk Melaka United di Liga Super musim ini dan gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan.

Ketika Melaka United cuba mengatur gerak mencari gol penyamaan, tuan rumah pula berjaya menggandakan gol apabila pemain import, Sanjar Shaakhmedov meledak jaringan pada minit ke-41.

Zainal Abdin Hassan melakukan pertukaran pada babak kedua dengan memasukan pemain sayap, S. Deevan Raj sekali gus mengubah posisi daripada 4-1-2-3 kepada 4-2-2 dengan Patrick Reichelt beraksi sebagai penyerang.


Namun perubahan taktikal itu nampak tidak membuahkan hasil apatah lagi memperlihatkan kesungguhan untuk segera mencari gol agak samar.

Berpunca daripada serangan balas pantas, pemain gantian TFC, Ahmad Syamim Yahya bijak mencari ruang berlari melepasi perangkap offside pertahanan Melaka United yang naik begitu tinggi.

Hasilnya, tuan rumah memperoleh gol ketiga pada minit ke-74 sekali gus menutup ruang kebangkitan buat Melaka United.


Ini merupakan kekalahan kedua Melaka United musim ini dan kedua-duanya dicatat di gelanggang lawan selepas tunduk 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim bulan lalu.

Foto: MUSA, MFL