Apa sudah jadi skuad Piala Presiden?


Tewas semua empat perlawanan awal, hanya menjaringkan satu gol dan gawang dibocori sebanyak sembilan kali.

Tidak mengalami nasib sama seperti skuad senior, segalanya tampak tidak menjadi buat skuad Piala Presiden Melaka United musim ini.

Skuad bimbingan Sapian Wahid ini tenggelam berada di dasar liga kumpulan B, gagal mengutip sebarang mata selepas tunduk 1-2 kepada Kuala Lumpur, Perak (0-4), Felda United (0-1) da terbaharu tumpas kepada pasukan jiran, Negeri Sembilan 2-0 semalam.

Biarpun mempunyai pemain berkualiti yang dipanggil menyertai skuad remaja kebangsaan, prestasi semasa Melaka United perlu diperbaiki terutama ketumpulan jentera serangan yang hanya sekadar menjaringkan satu gol.


Untuk rekod, anak buah Sapian ini gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan terkini dan keadaan ini sepatutnya membimbangkan.

Situasi ini mencetuskan kebimbangan penyokong yang menuntut pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) melakukan sesuatu bagi mengenal pasti punca kepada kemerosotan prestasi ini.

Menurut sumber, pasukan Piala Presiden Melaka United pernah mengalami situasi hampir sama seperti yang berlaku sekarang beberapa musim lalu selepas beberapa pemain berkualiti yang dicadangkan dibawa masuk ditolak sebaliknya hanya pemain 'biasa-biasa' diserapkan ke dalam pasukan.


Namun pada musim ini, masalah utama masih belum dikenal pasti dan pengurusan Piala Presiden harus bertindak segera agar tidak terus tenggelam di dasar liga.

Pada musim lalu, skuad Piala Presiden Melaka United menamatkan saingan di kedudukan ketujuh kumpulan A selepas merekodkan lapan menang, lima seri dan tujuh kekalahan dalam 20 perlawanan serta menjaringkan 24 gol dan dibolosi sebanyak 24 kali.

Foto: MUSA