.

.

Gol Nazrin, Markovic lonjak Melaka United


Kekalahan kepada pasukan jiran, Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu nyata tidak menjejaskan moral anak buah Zainal Abidin Hassan apabila bangkit mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur malam tadi.

Percaturan berani Zainal Abidin merehatkan Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman, Mohd Shukor Adan dan R. Gopinathan dari kesebelasan utama nyata berhasil apabila tiga pemain yang di bawa masuk beraksi cemerlang.


Mohamad Faris Shah Mohd Rosli, Mohd Razman Roslan dan Mohd Nazrin Mohd Nawi menjadi antara watak penting dalam kemenangan ke atas Kuala Lumpur.

Paling mencuri tumpuan adalah debut Nazrin sejak menyertai Melaka United daripada Perak dan kehadiran pemain m ini membuatkan bahagian sayap kiri yang agak tenggelam dalam beberapa perlawanan kini menjadi ancaman kepada pertahanan lawan.


Bermula garang menerusi percubaan Anslemo Arruda 'Casagrande' da Silva seawa minit pertama, Melaka United mengasak pertahanan lawan bagi mencari gol awal.

Usaha tersebut nyata berhasil apabila Darko Markovic berjaya menyelinap masuk ke dalam kotak penalti Kuala Lumpur sebelum menanduk masukan hantaran Mohamad Faris Shah untuk meletakkan tuan rumah 1-0 di depan.

Belum pun sempat pertahanan Kuala Lumpur memperbaiki kelemahan, Melaka United menggandakan jaringan selang dua minit kemudian.

Casagrande melakukan hantaran kepada Nazrin di sayap kiri sebelum membawa masuk bola ke kotak penalti dan melepaskan rembatan padu menewaskan Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-16.


Melaka United sewajarnya mematikan harapan pelawat untuk meraih mata namun kegagalan menyempurnakan beberapa peluang keemasan membuatkan keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Casagrande seharusnya melupakan sikap tamak di depan gol selepas beberapa peluang gagal disempurnakan biarpun kedudukan rakan sepasukan lebih baik untuk menyumbat gol jika bola dihantar kepada mereka.

Kemenangan ini melonjakkan kembali Melaka United ke tangga keempat Liga Super dengan 10 mata daripada lima perlawanan.

Aksi seterusnya menyaksikan Melaka United akan bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC pada 9 Mac ini.
Powered by Blogger.