.

.

'Laku' akhirnya, Zamir Selamat sertai B2FC


Selepas meluahkan kekecewaan kerana gagal mengikat kontrak dengan sebarang pasukan, bekas penjaga gol Melaka United, Mohd Zamir Selamat akhirnya boleh menarik nafas lega selepas diikat Batu Dua FC (B2FC) hari ini.

Penyertaan Mohd Zamir disahkan pasukan Liga Divisyen Tiga (M3) itu menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi B2FC.

"B2FC hari ini memperkenalkan bintang terbaru yang menandatangani bersama kelab. Mohd Zamir Selamat merupakan bekas penjaga gol kebangsaan banyak berkelana bersama pasukan-pasukan besar dalam karier beliau. 

"Kelab terakhir beliau adalah Melaka United. Beliau yang pernah mengecap kejayaan bersama kelab di selatan tanah air, Johor Darul Ta''zim (JDT) akan memulakan latihan pertama beliau bersama Batu Dua FC hari ini," katanya.

Mohd Zamir minggu lalu mendedahkan kesukarannya mendapatkan pasukan baharu selepas dilepaskan Melaka United berikutan rombakan yang dibuat pengendali, Zainal Abidin Hassan.


Kata bekas penjaga gol kebangsaan itu, dia telah menyertai sesi pemilihan dengan beberapa pasukan termasuk dari Liga Super sehinggalah Liga Malaysia M3 namun tiada satu pun yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Foto: B2FC
Powered by Blogger.