Sepanjang 44 minit pertama perlawanan, Stadium Hang Jebat, Krubong tampak sunyi, hanya sesekali disulami laungan sorakan Ultras Taming Sari dan penyokong Perak, Silverstate Ultras.
Tiada percubaan tepat dilakukan kedua-dua pasukan apatah lagi gerakan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan yang mampu diterjemahkan kepada jaringan.
Sehinggalah perlawanan masuk minit ke-45, baharulah percubaan pertama dilakukan Melaka United namun sepakan deras Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva namun diselamatkan penjaga gol, Hafizul Hakim Nizam Joty.
Kemasukan pemain pertahanan, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli menggantikan pemain sayap, Ramzi Haziq Mohamad pada minit ke-38 juga gagal menghasilkan sesuatu.
Memasuki masa kecederaan babak pertama, Perak hampir berjaya memperoleh gol pertama namun kuisan dari jarak dekat Wander Luiz berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan ketika rehat babak pertama.
Prestasi hambar berterusan dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak kedua selepas tiada sebarang jaringan dihasilkan.
Casagrande memperoleh peluang menjaringkan gol pada minit ke-50 namun tandukan penyerang tersebut melepasi palang.
Tersentak dengan cubaan tersebut, Perak mula mengatur serangan namun peluang keemasan Gilmar yang tidak dikawal sedikit melepasi palang gol Melaka United.
Melaka United dua kali dinafikan sepakan penalti apabila Faris Shah dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-64 dan Patrick Reichelt (75').
Keputusan seri ini meletakkan tidak mengubah kedudukan Melaka United di tangga kelima Liga Super dengan 11 mata daripada tujuh perlawanan.
Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan bakal melayan kunjungan Selangor minggu depan untuk aksi kelapan Liga Super 2019.