.

.

Amaran AG Empire buat MUSA


Prestasi semasa Melaka United sememangnya mencetuskan kembimbangan penyokong apatah lagi melihat anak buah Zainal Abidin Hassan semakin 'hanyut' dalam aksi Liga Super dan Piala FA.

Kelab penyokong, Ag Empire hari ini memberi amaran kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), staf kejurulatihan dan pemain-pemain agar 'memperbetulkan' keadaan ketika ini.

Katanya, penyokong telah muak menerima alasan lapuk yang diberikan MUSA kerana skrip yang ditampilkan sama saban tahun.


"Apa yang MUSA mahukan lagi dari penyokong? Kehadiran berkurangan dituduhnya kami tidak sejati, tidak minat. Pernah pihak MUSA buat bancian terperinci?

"Kami bukan tidak terima kekalahan tetapi tak terima kekalahan dengan alasan dan aksi yang sama macam lepas-lepas (musim sebelum ini).

"Sudah-sudahlah wahai MUSA cipta alasan dan perjalanan yang hampir sama setiap musim. Kami dah boleh hafal skrip yang di sajikan," katanya menerusi Facebook hari ini.


Melaka United merekodkan satu seri dan empat kekalahan dalam lima perlawanan terkini dengan kecederaan pemain utama dijadikan alasan mengapa prestasi buruk dipamerkan pasukan.

Mengulas lanjut, Ag Empire turut mempersoalkan hala tuju pasukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Ubahlah skrip lapuk dan basi kepada kejayaan berterusan. Kami tertanya apakah visi dan misi MUSA sebagai pengurusan untuk kami penyokong ini sandarkan sebagai sekongan padu?

"Hendak ke mana dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang? Evolusi kejayaan hanya sekadar Piala FAM dan Liga Perdana sajakah," soalnya.
Powered by Blogger.