.

.

Melaka United kempunan tiga mata dari Jengka


Melaka United gagal meraih tiga mata dalam perlawanan wajib menang menentang Felda United selepas terikat 1-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.

Menentang Felda United yang gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan, Melaka United yang masih segar ketika menumpaskan Kedah 1-0 minggu lalu harus menyalahkan diri sendiri.


Ketumpulan penyudah sekali lagi menjadi masalah buat skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan apabila deretan peluang gagal disempurnakan dengan baik oleh jentera serangan yang diketuai Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva.

Namun intensiti tinggi yang dipamerkan Melaka United berjaya menekan tuan rumah untuk memperoleh gol pertama.

Berpunca daripada kesilapan hantaran ke belakang pertahanan Felda United pada minit ke-14, Muhammad Anwar Ibrahim pasti disambar Patrick Reichelt sebelum melepaskan rembatan melepasi Norazlan Razali.


Pemain tengah, Darko Markovic kemudian terlepas peluang menambah jaringan sebelum beberapa minit selepas itu namun percubaannya dari luar kotak terkena tiang gol.

Kem Melaka United cemas seketika sebelum perlawanan menuju masa rehat apabila S. Chanturu berjaya melepasi perangkap offside namun kepantasan Khairul Fahmi Che Mat keluar menutup ruang menyaksikan percubaan pemain sayap itu tersasar.

Melaka United dinafikan gol kedua, dua minit selepas perlawanan bersambung apabila jaringan Reichelt dibatalkan kerana pemain sayap itu berada dalam kedudukan offside.


Felda United memperoleh peluang terbaik pada minit ke-52 menerusi tandukan Abdul Azim Rahim tetapi tandukan penyerang itu diselamatkan Khairul Fahmi.

Usaha Felda United memburu gol penyamaan berhasil pada minit ke-62 selepas Jang Suk-won menjadtuhkan Chanturu dalam kotak penalti.

Ulang tayang menyaksikan keputusan tersebut meragukan apabila sentuhan Suk-won dilihat sangat minimum untuk diberikan sepakan penalti.

Pemain import, Kei Ikeda tidak mempunyai masalah menewaskan Khairul Fahmi untuk meledak gol kedua peribadinya dalam kancah Liga Malaysia.


Reichelt mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan tetapi cubaannya sedikit terkena pertahanan Felda United, Thiago Junio de Aquino.

Kegagalan meraih tiga mata penting di Jengka  menyebabkan Melaka United terlepas peluang memintas Kedah dan Selangor di tangga ketiga Liga Super seleps kedua-dua pasukan juga terikat 1-1 di Stadium Darul Aman.

Melaka United bakal meneruskan aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 4 Mei ini.
Powered by Blogger.