.

.

Mat Don mungkin 'ditendang' keluar


Melaka United merancang mencari pengganti pemain tengah, Liridon Krasniqi atau 'Mat Don' selepas pemain terbabit berehat panjang akibat kecederaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, Mat Don masih berada di Jerman menjalani rawatan kecederaan pahanya.

Katanya, MUSA juga tiada kepastian bila sepatutnya pemain itu kembali ke pangkuan pasukan selepas tidak dimaklumkan berkaitan status terkininya kepada pengurusan serta jurulatih.


Menurut Yusoff, sepatutnya pemain kelahiran Kosovo itu sudah menyertai latihan lebih awal namun sehingga kini masih menjadi tanda tanya berkaitan tahap pemulihannya.

"Malah, tiada tarikh sebenar kepulangannya meletakkan MUSA terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada terutama anak tempatan di posisi tengah bagi skuad bimbingan jurulatih, Zainal Abdin Hassan,” kata Mohd Yusoff kepada BH Online hari ini.

"Apapun jika kembali menjalani latihan sudah tentu dia perlu mengambil masa membentuk keserasian bersama rakan sepasukan. 


"Melaka United juga perlu mengambil masa panjang membentuk keserasian sebelum ia dapat diturunkan. Sehubungan itu, kami berkira-kira menggantikan pemain terbabit.”

Mohd Yusoff yang sebelum ini menjelaskan Melaka United masih belum cemas dengan isu berkenaan, bagaimanapun kini kian berubah fikiran.


Bekas pemain Kedah terbabit terlepas enam perlawanan termasuk satu aksi Piala FA, sekaligus menyukarkan Melaka United untuk kembali menyenaraikannya di dalam skuad.

Selain Mat Don, Melaka United turut memiliki penyerang dari Brazil, Anselmo Casagrande, Darko Markovic (Montenegro), Jang Suk-Won (Korea Selatan) dan Patrick Reichelt (Filipina).
Powered by Blogger.