.

.

Melaka United 'lastik' jatuh Lang Merah

Kemarau berakhir. Penantian Melaka United menamatkan keputusan hambar lima perlawanan tanpa kemenangan berakhir apabila menundukkan Kedah 1-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Tidak ulangani kesilapan lalu, Zainal Abidin Hassan menampilkan corak permainan berbeza termasuk menyenaraikan pemain sayap, S. Devanraj ke dalam kesebelasan utama.


Benteng ampuh mengekalkan disiplin tinggi, Safiq Rahim menjadi jeneral di bahagian tengah namun ketumpulan barisan serangan dikemudi Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva gagal 'membunuh' perlawanan lebih awal.

Pertahanan Melaka United dikemudi Mohd Shukor Adan dan Jang Suk-won berjaya mengekang asakan Kedah membuat lawan hanya mampu mencuba dari luar kotak penalti.


Casagrande dan Patrick Reichelt sepatutnya meledak gol awal buat skuad Hang Tuah namun gagal menewaskan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim di gawang Lang Merah.

Sepakan penjuru diambil Safiq dua minit selepas babak kedua bermula tepat ke kepala Casagrande untuk meletakkan tuan rumah di depan.


Satu kepuasan jelas di wajah penyerang import berkenaan selepas hanya meledak dua gol dalam 10 perlawanan terdahulu sehingga menyebabkan kedudukannya dalam pasukan bagai telur di hujung tanduk.

Melaka United berpeluang menambah beberapa gol lagi selepas itu masing-masing menerusi Casagrande, Reichelt, Mohd Nazrin Nawi dan Darko Markovic tetapi percubaan mereka gagal menerjah jaring.


Belajar daripada kesilapan lalu terutama ketika tewas minit-minit akhir menentang Selangor minggu lalu, Zainal Abidin mengambil keputusan memasukkan Mohd Razman Roslan pada minit-minit akhir bagi menggantikan Devanraj.

Kemasukan bekas kapten Selangor jelas menjadikan pertahanan Melaka United lebih kompak sekali gus meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Kemenangan ini melonjakkan Melaka United ke tangga kelima Liga Super dengan 14 mata daripada 10 perlawanan dengan rekod empat kemenangan, dua seri dan empat kekalahan.

Foto: MFL
Powered by Blogger.