.

.

Sejauh mana pencapaian Zainal Abidin di separuh musim?


Pusingan pertama kempen Liga Super berakhir minggu lalu dengan menyaksikan Melaka United menamatkan saingan di kedudukan keenam daripada 12 pasukan bertanding.

Meletakkan sasaran untuk berada di kelompok empat terbaik, kedudukan Melaka dengan pasukan di tangga ketiga, Selangor hanya dibezakan dengan dua mata dan bakal menentang skuad gergasi Lembah Klang itu minggu ini.

Berikut merupakan penilaian Melaka United Media terhadap prestasi pasukan sepanjang separuh musim 2019.

Jurulatih


Pelantikan Zainal Abdin Hassan sebagai pengendali baharu Melaka United mendapat reaksi pelbagai daripada penyokong. Ini kerana berdasarkan rekod kurang baik legenda bola sepak Selangor itu melatih pasukan-pasukan terdahulu.

Namun, sebaik tiba di Melaka, Zainal Abidin berjaya memujuk beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Shukor Adan, Mohd Razman Roslan, Safiq Rahim dan pemain import, Patrick Reichelt menyertai pasukan.


Pramusim tampak menjanjikan sinar buat penyokong Melaka United apabila mencatat enam kemenangan, satu seri dan tewas sekali dalam lapan aksi persahabatan.

Momentum itu diteruskan dalam kancah Liga Super apabila anak buah Zainal Abidin merekodkan tiga kemenangan, satu seri dan tewas sekali dalam lima perlawanan pertama.

Segalanya tampak kurang menjadi terutama selepas tunduk 0-3 kepada Terengganu FC di Kuala Terengganu. 


Prestasi pasukan semakin merosot apabila gagal merekodkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan dan berakhir apabila menundukkan Kedah 1-0. 

Peratusan kemenangan Melaka United di bawah bimbingan Zainal Abidin adalah 33 peratus, hanya sedikit lebih baik sedikit berbanding prestasi hambar ketika dibimbing Eduardo Almeida musim lalu dengan peratusan 31 peratus.


Namun, E. Elavarasan yang membimbing pasukan di separuh musim kedua tahun lalu mempunyai rekod kemenangan lebih baik dengan ratio 47 peratus.

Corak permainan hambar dengan ketumpulan jentera serangan perlu diperbaiki menjelang aksi separuh musim kedua bagi memastikan Melaka United terus konsisten mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan.

Taktikal


Menggunakan formasi 4-2-3-1 atau 4-5-1 pada awal musim dengan menggandingkan Safiq Rahim, Liridon Krasniqi dan Darko Markovic di bahagian tengah, dengan Patrick Reichelt diletakkan di bahagian sayap kanan namun di sebelah kiri Zainal Abidin masih tercari-cari calon yang sesuai.

Corak permainan hantaran pendek kerap diterapkan ketika Liridon beraksi di tengah padang namun selepas ketiadaan pemain kelahiran Kosovo itu, corak permainan sedikit berubah dengan lebih tertumpu ke bahagian sayap.

Tiada lagi gerakan dinamik, bola kebanyakannya terus dihantar ke atas mencari Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva atau mengharapkan larian memgelirukan Reichelt dari bahagian sayap.


Melaka United tidak menggunakan Casagrande sebaik mungkin sebagai 'target man' kerana apabila penyerang tersebut mendapat bola di udara, tiada rakan di bahagian tengah atau sayap yang membuat larian untuk menerima hantaran.

Reichelt yang gemar melakukan larian masuk ke tengah (cut inside) sementara di bahagian sayap, Raimi Md Noor, R. Gopinathan atau Mohd Nazrin Nawi lebih ke luar membuatkan bola dihantar dipintas pertahanan lawan.


Safiq menjadi jeneral di bahagian tengah namun memerlukan perlindungan lebih baik daripada rakan sepasukan untuk mencipta lebih banyak hantaran berbahaya ibarat pisau panas membelah mentega kepada jentera serangan.

Casagrande


Jentera serangan Melaka United tidak pernah mengecewakan sepanjang pramusim apabila meledak 22 gol daripada lapan perlawanan dengan ratio 2.75 gol setiap perlawanan.

Tujuh gol daripada enam perlawanan pramusim, Casagrande yang merupakan penjaring terbanyak Liga Premier musim lalu bersama Felca FC tampak bergelut mencari prestasi terbaik musim ini.

Menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan musim menentang Petaling Jaya City, prestasi Casagrande terus merudum apabila gagal menjaringkan sebarang gol dalam banyak perlawanan dan sehingga kini hanya mampu menjaringkan tiga gol dalam 12 perlawanan.

Satu pulangan yang kurang baik untuk penyerang import.

Pertahanan


Sejujurnya kembalinya Mohd Shukor Adan ke Melaka United menjadi pertahanan Melaka United lebih baik berbanding dua musim-musim terdahulu di Liga Super.

Bergandingan dengan pertahanan import, Jang Suk-won, rakan sepasukan di Felda United, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman dan Raimi Md Noor, pertahanan Melaka United tidak lagi menjadi antara pasukan yang mencatat kebolosan tertinggi di separuh musim.

Hanya melepaskan 13 gol dalam 11 perlawanan Liga Super, pertahanan Melaka United juga merekodkan empat perlawanan tanpa bolos sepanjang musim ini.

Kecederaan


Ketika masa depan Zainal Abidin menjadi persoalan selepas aksi hambar berterusan dipamerkan pasukan, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari mempertahankan ketua jurulatih itu dan memberitahu kecederaan menjadi punca kemerosotan prestasi pasukan.

Nazrin Nawi terpaksa diketepikan pada awal musim kerana kecederaan namun posisinya diisini oleh Gopinathan.


Ketiadaan Liridon dikatakan merupakan antara punca kepada kemerosotan Melaka United biarpun ketika beraksi prestasi dipamerkan pemain import itu dibawah kemampuan sebenar.

Sehingga kini, Liridon masih belum kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan pangkal paha yang dialami ketika aksi menentang Kuala Lumpur awal bulan lalu.

RATING: 6.5/10 
Powered by Blogger.