Tak pasti bila Mat Don pulih - Mohd Yusoff


Melaka United menerima perkhabaran kurang baik apabila pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi atau Mat Don tidak dapat diturunkan ketika aksi menentang Kedah, Ahad ini.

Pengurus pasukan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pemain terbabit sepatutnya kembali menyertai pasukan semalam, namun Mat Don masih menjalani rawatan lanjut berhubung kecederaannya.

Katanya, bekas pemain Kedah itu juga memaklumkan kepada barisan kejurulatihan pasukan berkenaan perkembangan dirinya, namun beliau tidak menoktahkan tarikh sebenar kepulangannya bersama pasukan.

“Pemain terbabit sebelum ini turut menangguhkan niat kembali bersama Melaka United dalam beberapa aksi berikutan masih meneruskan rawatan kecederaan paha di Jerman.

“Apapun kami masih sabar menanti. Bila dia kembali, itu tidak pasti. Apapun kami belum cemas dengan berita terbabit dan mengharapkan pemain lain mampu untuk terus memberi persembahan terbaik masing-masing.

“Sememangnya kami merasai ketiadaannya sejak empat perlawanan lalu sehingga prestasi pasukan kelihatan merudum,” katanya kepada BH Online semalam.


Apapun, sedikit melegakan berikutan selama ketiadaannya pemain gantian menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan namun nasib tidak menyebelahi pasukan berdasarkan keputusan empat perlawanan lalu.

Namun, Yusof mengakui tetap cemas dengan prestasi pasukan pasukan kebelakangan ini berikutan mencatatkan empat kekalahan berturut-turut seolah reputasi gah skuad Hang Tuah sebelum ini kian mudah dirobek lawan.

Sehubungan itu, dia mahu pemain tidak menjadikan ketiadaan Mat Don sebagai faktor gagal mencipta kemenangan ke atas skuad pelawat di gelanggang sendiri kali ini.

Kini, penyokong tetap optimis untuk mengharapkan sentuhan berbisa Mat Don bergandingan dengan Safiq Rahim di posisi tengah pasukan ketika bertemu FELDA United di gelanggang lawan pada 26 April ini.