.

.

Tewas kepada PKNP FC, Melaka United kemarau kemenangan


Hampa. Melaka United gagal menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan selepas tewas 0-1 kepada PKNP FC di Stadium Manjung, Perak malam tadi.

Ketika ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan cuba mengembalikan semula keyakinan pemain untuk meraih tiga mata penting di gelanggang lawan, gol sendiri Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-65 merubah segalanya.


Tanpa tekanan, Ahmad Khuzaimi atau Jimmy menolak mudah masuk bola hantaran silang pemain PKNP FC dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

PKNP FC sememangnya layak memenangi perlawanan, jika dinilai daripada keseluruhan 90 minit aksi di Manjung.

Lima perlawanan tanpa kemenangan, empat kali tewas dan seri sekali pastinya merisaukan pengurusan, kejurulatihan dan penyokong, biarpun pada satu ketika membuka kempen Liga Super 2019 dengan cemerlang.


Kini tumpuan pastinya terarah kepada nasib Zainal Abidin selepas taktikal yang diterapkan mendapat kritikan penyokong yang mendakwa kemerosotan prestasi pasukan berpunca daripada bekas penyerang kebangsaan itu.

Zainal Abidin bagaimanapun boleh menarik nafas lega selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari memberi jaminan kedudukan ketua jurulatih itu selamat buat masa ini.


Namun aksi malam tadi memperlihatkan taktikal buat punca utama kekalahan sebaliknya ketumpulan penyudah Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva menghampakan penyokong Melaka United yang bertandang ke Manjung.


Tidak konsisten seperti aksi yang ditunjukkan pada aksi pramusim, Casagrande setakat ini hanya meledak dua gol, satu ketika menentang Petaling Jaya City sementara satu lagi menerusi sepakan penalti.


Jentera serangan merupakan posisi paling kritikal yang perlu segera diperbaiki Zainal bagi mengelakkan kedudukan Melaka United terus jatuh di Liga Super.

Foto: MUSA
Powered by Blogger.