Balic perkukuh benteng pertahanan Melaka United


Melaka United memperkukuhkan benteng pertahanan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia apabila membawa masuk pertahanan dari Crotia, Dominik Balic.

Balic yang bakal mengenakan jersi nombor tujuh melengkapkan lima pemain import Melaka United musim ini susulan perpindahan secara pinjaman Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva ke Pulau Pinang dan Darko Markovic (Kuala Lumpur.

Pertahanan tengah berusia 23 tahun ini dijangka berpasangan dengan Jang Suk-won bagi membina benteng ampuh mengelakkan gawang Melaka United daripada mudah dibocori.

Balic sebelum ini beraksi bersama kelab Divisyen 2 Croatia, NK Dugopolje sejak 2015 dan merupakan produk remaja pasukan divisyen dua kelab berkenaan.

Pada musim lalu, Balic membuat 20 penampilan bersama pasukan utama dan berjaya menjaringkan tiga gol buat NK Dugopolje.