.

.

Darko berhijrah ke Kuala Lumpur


Teka-teki mengenai masa depan Darko Markovic bersama Melaka United terjawab apabila pemain itu menyertai Kuala Lumpur.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menerusi kenyataan mengesahkan perkara tersebut sekali gus menamatkan spekulasi masa depan pemain tengah dari Montenegro itu bersama Melaka United.

"Selamat datang Darko. KLFA secara rasminya menandatangani Darko bagi memperkasakan pasukan.

"Keserasian bermain di Liga Malaysia sudah pasti memberi bantuan kepada Darko untuk mempamerkan lagi kehebatan beliau. Lapan penampilan bersama bekas pasukan, beliau berjaya menjaringkan dua gol," katanya hari ini.

Prestasi kurang memberangsangkan sepanjang separuh musim Darko bersama Melaka United menyebabkan namanya antara yang bakal digugurkan pasukan setelah jendela perpindahan dibuka minggu lalu.

Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan sebelum ini memanggil semula Luka Milunovic yang dipinjamkan ke Sabah sementara tempoh Liridon Krasniqi untuk kembali pulih masih menjadi tanda tanya.

Sementara itu, Darko menerusi akaun Facebooknya berharap penghijrahannya ke Kuala Lumpur akan membuka lembaran baharu dalam karier bola sepaknya.

"Pasukan baharu, bahagian dan motif (sasaran) baharu. Harap kita dapat capainya bersama," katanya menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Powered by Blogger.