Liridon Krasniqi kini hanya tinggal selangkah untuk bergelar pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh yang membintangi skuad Harimau Malaya sejak Oktober lalu, lapor Harian Metro.
Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan, hasil pembentangan jawatankuasa itu minggu lalu menyaksikan pemain kelahiran Kosovo itu menjadi pilihan hangat susulan aksi konsistennya dalam Liga Malaysia sejak lima musim lalu.
Bagaimanapun, Yusoff mengakui tahap kecederaan dialami pemain Melaka United itu kini menjadi perhatian FAM sebelum menawarkan tempat dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe.
“Panel pemilihan sudah menyediakan laporan setiap pemain yang dinilai oleh jawatankuasa. Senarai itu sudah ada di tangan kami cuma tinggal langkah seterusnya dengan berjumpa pihak kementerian berkaitan mengenai soal dokumentasi dan sebagainya.
“Kalau dilihat pemain ini memang layak jadi pemain Malaysia. Liridon dilihat menepati kriteria yang kami mahukan dan semua (panel) bersetuju. Tapi yang membimbangkan adalah tahap kecederaannya.
“Adakah dia boleh pulih sepenuhnya atau tidak. Ini menjadi pertimbangan dan kami perlu memantau tahap kesihatannya terlebih dulu. Tapi dari segi prestasi saya lihat banyak memihak kepadanya,” katanya ketika ditemui pada program Piagam Suparimau FAM di Kompleks Sukan PKNS di sini, semalam.
FAM sebelum ini dilaporkan bersedia merekrut lebih ramai tonggak naturalisasi bagi memberi impak segera kepada skuad Harimau Malaya yang menyaksikan Sumareh berjaya membantu pasukan mara hingga ke final Piala AFF Disember lalu.
Selain Krasniqi, tiga pemain turut berada dalam radar iaitu penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan penyerang UKM FC, Michael Ijezie.
“Kami ada tiga atau empat calon saja dalam senarai. Banyak faktor dokumentasi yang bermasalah misalnya, ada antara mereka yang pernah beraksi di luar sekejap dan datang balik sini.
“Jadi perkara macam inilah kami perlu semak dengan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sebab ia ada kaitan dengan ITC (sijil perpindahan pemain) kerana pemain ini perlu memohon ITC untuk bermain di luar.
“Maknanya jika mereka pergi bulan Mei dan balik semula pada bulan November atau Disember, adakah ia dianggap terkeluar daripada tempoh lima tahun wajib berada di negara ini atau macam mana.
“Contoh Guilherme pernah keluar sekejap, jadi kami tak tahu statusnya bagaimana. Apapun kami akan maklumkan apabila semua proses dokumentasi itu selesai,” katanya yang juga Timbalan Presiden FAM dan pengurus skuad kebangsaan.
Foto: MUSA, MFL, UKM FC