.

.

Melaka United terlepas tindakan pemotongan mata


Melaka United terselamat daripada tindakan pemotongan mata selepas melengkap dan mengemukakan dokumen yang diminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengikut tarikh yang ditetapkan.

MFL menerusi kenyataan berkata, Melaka United termasuk Kelantan dan Sarawak telah menunjukkan komitmen tinggi untuk mematuhi peraturan dan berjaya melengkapkan proses dokumen sebelum tarikh akhir pada 22 Mei lalu.

“Inilah matlamat MFL iaitu untuk mendidik pasukan dan memastikan kepatuhan terhadap peraturan kami dan ianya bukan untuk menghukum mana-mana pasukan.

“Dengan mengambil kira usaha yang dilakukan oleh Kelantan dan Sarawak, dan juga mengambil kira aspek kesukanan, keputusan telah dibuat untuk membenarkan Kelantan dan Sarawak mendaftar satu pemain.

“Walau bagaimanapun, untuk layak mendaftarkan satu pemain, pasukan itu harus terlebih dahulu membuktikan kepada MFL bahawa terdapat kesan aliran tunai yang positif terhadap kewangan pasukan di mana pendaftaran pemain baharu itu tidak melebihi perbelanjaan pemain yang digugurkan,” katanya hari ini.

MFL sebelum ini mengumumkan keputusan rayuan tujuh pasukan yang dikenakan hukuman susulan kegagalan pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Pasukan berkenaan adalah Kuala Lumpur, Felda United, Melaka, Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang.

Denda pemotongan geran ke Melaka United, Sarawak dan Kelantan dikurangkan sebanyak 10 peratus.
Powered by Blogger.