.

.

Milunovic ledak gol, Melaka United kecundang di Darulaman


Luka Milunovic jaringkan gol lagi namun itu tidak mampu membantu Melaka United membawa pulang sebarang mata dari Stadium Darul Aman selepas tewas 1-2 kepada Kedah malam tadi.

Pertahanan Melaka United cemerlang menyerap asakan di separuh masa pertama dan kemudiannya menyempurnakan peluang menerusi gerakan bola mati.

Sepakan percuma Safiq Rahim berjaya mengelirukan pertahanan Kedah dan singgah ke kaki Milunovic yang kemudiannya mudah menolak masuk bola ke gawang lawan melepasi kawalan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.


Di separuh masa kedua, perlawanan lebih terbuka dipamerkan dengan Melaka United kerap melakukan gerakan-gerakan berbahaya.

Kelekaan Melaka United dihukum tuan rumah menerusi kelebihan kelajuan yang dimiliki pemain mereka untuk mengeksploitasi pertahanan pelawat.


Hasilnya, dua gol diperoleh Kedah berpunca daripada gerakan dari sebelah pertahaan kanan, Mohd Razman Roslan yang dilihat sedikit perlahan untuk menyaingi kelajuan Muhammad Farhan Roslan.

Hantaran silang Muhammad Farhan ditanduk masuk kapten, Baddrul Bakhtiar pada minit ke-61 dan selang 10 minit kemudian, sekali lagi hantaran silang pemain sayap tersebut menerjah gawang, kali ini dijaringkan sendiri Jang Suk-won.

Kekalahan ini tidak banyak merubah kedudukan Melaka United di tangga kelima Liga Super dengan 19 mata.

Powered by Blogger.