.

.

Gugup di babak pertama undang kekalahan di tangan JDT


Gugup di sepanjang setengah jam pertama perlawanan menyaksikan impian Melaka United meleburkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Bagaikan terkena sumpahan, anak buah Zainal Abidin Hassan mempamerkan aksi goyah, membenarkan lawan mengusai perlawanan sehinggakan mereka selesa mencipta peluang.

Ketika perlawanan baru menginjak usia tujuh minit, JDT yang memerlukan tiga mata penuh untuk muncul juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut berada di depan.

Penyerang, Diogo Luis Santo bijak melepasi perangkap ofside melakukan cubaan dan kemudiannya ditepis Khairul Fahmi Che namun Mohd Nazmi Faiz Mansor tenang melakukan tindakan susulan untuk mengubah kedudukan 1-0.

Selang 20 minit kemudian, giliran Diogo meledak gol kedua JDT selepas menerima hantaran La'Vere Corbin-Ong.


Selepas memperdayakan tiga benteng tuan rumah, bekas penyernaf Buriram United itu melepaskan tendangan kaki kiri tepat menuju ke penjuru kiri gawang sekali gus meraikan jaringan ke-10 peribadi dalam saingan liga musim ini.

Tuan rumah mempamerkan aksi lebih kemas selepas rehat, menyaksikan perancang utama, Safiq Rahim, memperoleh peluang di depan petak penalti di minit ke-59 tetapi sepakan lambung yang dilakukan sekadar tersasar ke kanan gawang lawan sambil Safawi Rasid terlepas kesempatan untuk terus menjarakkan kedudukan buat pelawat selepas mensia-siakan peluang satu lawan satu dengan Khairul Fahmi.


Serangan tekanan tinggi yang diterapkan Melaka akhirnya berhasil ketika permainan berbaki tujuh minit apabila dianugerahkan sepakan penalti.

Walaupun Claude Angan gagal menyempurnakan sepakan penalti, skipper, Mohd Shukor Adan pantas menyambar bola muntah untuk mengurang defisit 1-2.

Tetapi segalanya sudah terlambat buat skuad Hang Tuah untuk mengekang anak buah Luciano Figueroa daripada mengesahkan kejuaraan Liga Super keenam berturut-turut.

Keputusan ini mengubah kedudukan Melaka United apabila turun ke tangga keenam selepas mengutip 26 mata daripada 18 perlawanan.
Powered by Blogger.