Bangkit tundukkan PKNP FC, Melaka United lonjak ke tangga ketiga Liga Super


Seakan masih terbuai dalam lena hasil kemenangan 2-1 ke atas PJ City minggu lalu, aksi di sepanjang 40 minit pertama Melaka United menentang PKNP FC malam tadi mencemaskan ribuan penyokong tuan rumah.

Ini kerana pelawat terlebih dahulu di depan seawal minit ke-13 apabila penyerang, Giancarlo Lopes bijak menyelinap masuk di antara pertahanan Melaka United sebelum menanduk masuk bola ke gawang.

Tidak boleh keciciran mata dalam baki tiga perlawanan ini, Melaka United tampak keletihan dan kurang menjadi apabila banyak hantaran-hantaran yang dilakukan dipintas dan tidak menemui sasaran.


Sorakan kemarahan penyokong di stadium seakan menjadi titik kebangkitan membangunkan anak buah Zainal Abidin Hassan dari lena.

Bermula daripada hantaran dari tengah Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman kepada Luka Milunovic, pemain tengah dari Serbia itu kemudiannya menanduk ke depan selepas menyedari Davy Angan melakukan larian.


Penyerang dari Ivory Coast itu tidak berdepn masalah menyudahkan peluang tersebut apabila melepaskan rembatan dari dalam kotak untuk gol penyamaan Melaka United pada minit ke-41.

Zainal Abidin kemudiannya membawa masuk Safiq Rahim sejurus daripada jaringan berkenaan apabila menyedari kepincangan di bahagian tengah.

Percaturan pengendali Melaka United itu berhasil di babak kedua apabila anak buahnya bangkit menjaringkan gol kedua.

Tindakan bijak Angan berjaya memperdaya pertahanan PKNP FC di bahagian sayap sebelum melakukan hantaran silang kepada Patrick Reichelt.



Penyerang antarabangsa Filipina itu kemudiannya melakukan kuisan yang terkena palang, melantun ke belakang penjaga gol sebelum masuk ke gawang lawan pada minit ke-59.

Pemain Melaka United berjaya menyerap asakan pelawat dalam baki perlawanan dan memastikan tiga mata penuh milik mereka, sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Super.