Kemasukan dua pemain Melaka United, Anselmo Arruda 'Casagrande' da Silva dan Wan Shukri Wan Ahmad ke Pulau Pinang secara pinjaman pada pertengahan musim diibaratkan satu rahmat buat pasukan Pulau Mutiara itu.
Ketika pasukan Pulau Pinang bergelut memberikan saingan pada awal musim, kemasukan Casagrande, Wan Shukri Wan Ahmad dan pemain PJ City FC M. Yoges memberikan nafas baharu buat skuad kendalian Manzoor Azwira itu.
Menurut FA Penang, kehadiran ketiga-tiga pemain ini memberikan impak yang sangat besar kepada persembahan Pulau Pinang sejak bermula pusingan kedua Liga Premier.
Peranan Wan Shukri yang bertindak selaku pertahanan tengah bagi mengurangkan bebanan pemain import, Kang Seung Jo yang terpaksa beraksi di posisi tersebut sepanjang pusingan pertama, dan terus menjadi pilihan utama ‘back four’ Pulau Pinang.
Kehadiran Casagrande pula memberikan impak yang paling besar buat Pulau Pinang dengan meledak lapan gol daripada lapan penampilan serta bantuan jaringan.
"Kelibat mesin pencetak gol ini pastinya akan terus menjadi perhatian lawan dalam kempen Piala Malaysia nanti," katanya menerusi Facebook semalam.
Casagrande gagal menyerlah bersama Melaka United selepas hanya menjaringkan tiga gol dalam 12 perlawanan sementara Wan Shukri gagal memikat hati Zainal Abidin Hassan untuk diturunkan secara kerap.
Foto: FA Penang