Gol lewat Sherman sekat hajat Melaka United


Impian Melaka United memburu status naib juara Liga Super lebur selepas dipaksa seri 1-1 menentang PKNS FC di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Segalanya tampak seakan menyebelahi skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu apabila kapten, Mohd Shukor Adan mudah menolak masuk gol pertama Melaka United pda minit ke-54.


Gol tersebut berpunca daripada aksi kelam-kabut dalam kotak penalti pelawat menyaksikan penjaga gol, Muhammad Zharif Irfan Hashimuddin gagal menolak keluar bola hasila sepakan percuma tuan rumah.

Ketika tiga mata penuh seakan milik Melaka United, penyerang berbisa PKNS FC, Kpah Sherman pula menjadi duri dalam daging tuan rumah.


Bermula daripada hantaran lintang dari sebelah kanan, Sherman yang berada di depan gawang berjaya memperdaya Mohd Shukor sebelum menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-80.

Melaka United cuba melipat-gandakan asakan selepas itu namun keputusan kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.


Keputusan ini meletakkan Melaka United di tangga kelima, di belakang Kedah dan Selangor yang berkelebihan satu mata di tangga ketiga dan keempat Liga Super.

Perlawanan terakhir Liga Super menyaksikan Melaka United bakal berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur pada 20 Julai ini bagi melengkapkan 22 perlawanan musim 2019.

Foto: MFL