.

.

Kenali skuad juara dan penjaga gol 'manis' Melaka United


Melaka United mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Tun Sharifah Rodziah 2019 malam tadi selepas menundukkan Kedah 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada masa sebenar permainan berakhir.

Pasukan yang dibimbing Jamil Hassan itu berjaya melunaskan dendam selepas tewas 0-2 pada aksi final tahun lalu kepada Kedah untuk meletakkan nama antara juara trofi tersebut bersama 10 pasukan lain.


Ramai pastinya tertanya-tanya siapakah pemain-pemain yang mewakili Melaka United musim ini kerana kebanyakan wajah mereka seperti wanita yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

Hakikatnya, untuk kempen tahun ini, Melaka United berjaya memancing ramai pemain berpengalaman daripada skuad juara 11 kali, Sabah selepas pasukan tersebut tidak mengambil bahagian pada edisi kali ini.


Antaranya adalah pertahanan, Noor Mianah Balanting; kapten kebangsaan, Shereilynn Elly Pius, Jaciah Jumilis, Alice Mic Michael, Haindee Mosroh, Pedrolia Martin Sikayun, Dadree Rofinus, Sihaya Ajad dan beberapa lagi.

Lapan daripada pemain dari Negeri Di Bawah Bayu ini merupakan pemain kebangsaan yang dipanggil ketua jurulatih, Jacob Joseph bagi menghadapi Kejuaraan Wanita AFF 2019 di Chomburi, Thailand pada 15 hingga 27 Ogos nanti.


Dan pastinya ramai yang ingin tahu latar belakang penjaga gol Melaka United, Nurul Azurin Mazlan.

Baru berusia 19 tahun, Nurul Azurin merupakan anak kelahiran Shah Alam, Selangor dan sebelum ini menuntut di Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS).


Bercita-cita menyertai kelab luar negara satu hari nanti, Nurul Azurin mula berjinak-jinak dengan bola sepak seawal usia 10 tahun.

"Saya mula bermain bola sepak sejak berusia 10 tahun secara suka-suka. Pada usia 12 tahun saya bermain di kelab Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bawah bimbingan Annuar Abu Bakar.


"Ketika kelab menyertai Kejohanan 1MCC Bawah 14 Tahun kami bergelar juara. Pada 2014, saya bermain untuk pasukan kebangsaan B-14 dan beraksi di Vietnam. Dua tahun kemudian saya pergi ke Weifang, China.

"Pada usia 16 tahun saya dipanggil dalam skuad senior. Dan Sukan SEA ini adalah perlawanan besar pertama untuk skuad kebangsaan," ujarnya yang dipetik dari MStar Online.


Mengulas lanjut, Nurul Azurin memberitahu sejak awal menceburi diri dalam bola sepak, penjaga gol sudah menjadi miliknya.

"Dulu, mula-mula main dengan budak lelaki, saya terus jadi penjaga gol. Semangat nak teruskan semakin tinggi. Bermain dengan 'team' mereka bukan mudah nak masuk 'first eleven' (kesebelasan utama). Jadi selepas terpilih menyertai pasukan mereka (lelaki) saya teruskan menjadi penjaga gol sehinggalah sekarang.


"Bagi saya juga, ukuran ketinggian tidak menjadi masalah kerana ia dijadikan penambah semangat untuk buktikan yang lebih baik. Setakat ini saya dapat mengatasinya dengan baik," jelas anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini.

Nurul Azurin yang kini bergelar pelajar di Universiti Multimedia memberitahu, dia menjadikan penjaga gol Barcelona, Marc-André Ter Stegen sebagai idolanya.


Pemain muda ini juga mencipta sejarah tersendiri apabila muncul penerima Anugerah Pemain Wanita Terbaik pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK 18) tahun lalu.

Foto: MUSA, MStar Online
Powered by Blogger.