.

.

'Macam tak makan aje', Melaka United tunduk mudah kepada Pahang


Melaka United mengakhiri kempen Liga Super dengan kekalahan selepas dibelasah 4-1 oleh Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan malam tadi.

Tuan rumah berada di depan seawal minit pertama perlawanan menerusi Lazarus Kaimbi yang mudah menolak masuk bola tepisan Ahmad Solehin Mamat.

Penjaga gol kelahiran Melaka United sepatutnya mampu melakukan lebih baik bagi menghalang jaringan tersebut.


Skuad bimbingan Dollah Salleh itu terus menggandakan jaringan apabila Mohamadou Sumareh menanduk masuk hantaran silang yang berpunca daripada gerakan sepakan penjuru pada minit ke-40.

Luka Milunovic berjaya merapatkan jurang pada minit ke-58 apabila sepakan percumanya tepat ke penjuru kiri menerjah gawang gol Pahang.


Skuad Tok Gajah mematikan peluang Melaka United untuk bangkit apabila Lazarus meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-69, selepas menerima hantaran silang dari sebelah kanan.

Pertahanan Melaka United bagai hilang punca selepas itu apabila membiarkan Dickson Nwakame membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sebelum melakukan hantaran leret kepada Lazarus.


Penyerang import yang tidak dikawal itu kemudiannya melorongkan bola kepada Saddil Ramdani untuk mudah memastikan kemenangan bergaya Pahang.

Kekalahan ini meletakkan Melaka United kekal di tangga kelima Liga Super, namun berisiko dipintas Perak jika pasukan berkenaan menang menang besar malam esok.

Foto: MFL
Powered by Blogger.