.

.

Shukor akui masalah gaji, ingatkan MUSA


"Jika mahu mara ke peringkat tertinggi dalam saingan Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) perlu teliti dalam proses pembayaran gaji pemain."

Itu peringatan dilontarkan kapten skuad Hang Tuah, Shukor Adan, buat majikannya menjelang sepak mula Piala Malaysia 2019.

Pembayaran gaji memainkan peranan penting dalam memastikan motivasi pemain berada di tahap terbaik sekali gus mengundang reaksi bersahaja Shukor yang mahukan MUSA lebih serius dalam isu pembayaran gaji.

Bersetuju dengan laporan industri dongeng yang dikeluarkan Nadi Arena baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan kekangan pembayaran gaji memberi impak besar buat pemain dan mengganggu fokus di dalam padang.


"Apa yang didengar daripada berita baru-baru ini, ia benar. Jadi, saya harap pihak pengurusan cuba lakukan sesuatu yang terbaik untuk pemain Melaka agar mereka tidak fikirkan apa yang berlaku hari esok. Kami sebagai pemain jika fikirkannya, ia akan ganggu prestasi," katanya kepada Astro Arena hari ini.

Shukor yang turut berada di majlis undian yang berlangsung hari ini menganggap Melaka berada di kedudukan yang baik untuk menyerlah dalam saingan kali ini.

Dia yang pernah menyarung jersi Selangor dan Felda United sebelum ini melihat undian kali ini mempunyai nilai sentimental tersendiri.

"Dalam kumpulan ini, saya telah mewakili tiga pasukan iaitu Melaka, Selangor dan Felda. Jadi, saya rasa ia sengit dan kami tidak boleh pandang rendah pasukan bawahan," katanya.

Foto: Astro Arena, MUSA
Powered by Blogger.